Keluh-kesah majikan, pekerja tidak sama - Utusan Malaysia

Keluh-kesah majikan, pekerja tidak sama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Menjelang 1 Januari 2023 ramai majikan keluh-kesah kerana terpaksa berkira-kira untuk menambahkan kos membayar upah pekerja dan beberapa faedah lain yang ditambah baik menerusi penguatkuasaan Akta Kerja 1955 (Pindaaan 2022).

Ada yang memberi amaran pelaksanaan Akta Kerja yang dipinda itu bakal melingkup banyak syarikat, rangkaian runcit, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta sektor perladangan termasuk per
khidmatan.

Antara alasan ialah perniagaan mereka baru pulih daripada pandemik Covid-19, masalah ekonomi global yang lemah selain ada yang mengingatkan kerajaan bahawa Malaysia masih sebuah negara membangun tetapi Akta Kerja baharu itu hanya sesuai untuk negara maju.

Justeru, menjelang 1 Januari ramai majikan kecut perut dan membayangkan perusahaan mereka bakal bermasalah kerana skop kiraan upah kepada pekerja yang meningkat.

Sebaliknya, di sebelah pekerja mereka ternanti-nanti pelaksanaan akta tersebut kerana kehidupan masa kini ‘luar biasa’ dengan kenaikan harga keperluan harian sehingga gaji diterima sukar dipadankan dengan kos sara hidup.

Lihat sahaja harga ayam dan telur bukan sahaja naik sekitar 30 hingga 40 peratus berbanding kenaikan gaji pekerja yang kebanyakan naik bawah lima peratus. Bagaimana mahu ‘bernafas’? Sudahlah kedua-dua sumber protein itu mahal tetapi lebih bermasalah apabila sukar diperoleh kerana asyik terputus bekalan.

Jika semasa kempen PRU15 November lalu, ramai ahli politik menghentam kerajaan Keluarga Malaysia gagal menguruskan isu bekalan ayam dan telur, kini situasinya tidak berubah malah ke arah teruk. Ada juga yang tertanya-tanya di manakah Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu untuk memberi `ubat’ kelegaan kepada rakyat.

Rakyat faham Kerajaan Perpaduan baru terbentuk 24 November lalu namun kini sudah lebih sebulan belum ada tanda-tanda isu ayam dan telur ayam mahu selesai.

Tindakan mengimport telur ayam dari India juga tidak menunjukkan masalah itu mahu pulih sebaliknya ada sahaja rugutan telur import mahal, tidak selamat malah ada juga yang dakwa tidak pun sampai ke destinasi mereka.

Justeru, berbalik kepada Akta Kerja yang mencetuskan konflik antara majikan dan pekerja, sebaiknya tidak perlu sehingga ditangguhkan pelaksanaannya.

Sekali-sekala majikan perlu ‘reda’ dengan kenaikan kos operasi kerana nasib pekerja juga perlu dibaiki agar sepadan dengan situasi semasa. Gembirakah bos jika anak buah sentiasa berserabut dengan duit sehingga tiada produktiviti?

Bayangkan ketika tiada barang murah, bagaimana ketua keluarga isi rumah empat bergaji RM4,000 menguruskan kelangsungan hidup? Sebelum ini, hidup dengan gaji sama masih boleh bernafas kerana ayam dijual sekitar RM7.50 sekilogram, telur sepapan saiz B sekitar RM10.90.

Susah majikan tidak sama dengan susah pekerja. Ketika majikan risau perolehan mereka akan menjunam walaupun belum pun berlaku mereka masih mampu duduk di kerusi empuk, memandu kereta berjenama, berangan membeli hartanah dan makan apa yang dihajati.

Namun, susah pekerja, mereka kini sedang mencatu menu makan dari pagi sampai ke malam.

Teon Eg ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya