Kelantan dan tanda aras kecantikan - Utusan Malaysia

Kelantan dan tanda aras kecantikan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEBELUM ini daerah Pasir Mas, Kelantan dikaitkan dengan gadis-gadis jelita yang menjadi idaman sama ada pemuda tempatan mahupun dari luar negeri itu.

Daripada cerita dan cakap-cakap orang lama, diakui wanita dan gadis di kawasan tepi Sungai Kelantan terutama di Salor, Pengkalan Batu, Pengkalan Pasir dan beberapa kawasan sekitarnya memang mempunyai rupa paras yang jelita.

Selepas reda dengan cerita kecantikan gadis Pasir Mas, muncul pula satu lagi cerita berkaitan dengan gadis dan wanita Kelantan – juga berkaitan dengan kecantikan. Golongan wanita di negeri Cik Siti Wan Kembang katanya cukup obses dengan kecantikan di mana secara purata dianggarkan mereka memperuntukan antara RM300 hingga RM600 sebulan untuk mencantikkan diri.

Mereka dikatakan sanggup berhabis duit membeli produk kecantikan dan penjagaan diri supaya nampak cantik dari hujung rambut hingga ke hujung kaki. Walaupun perkara ini sebenarnya bersifat subjektif. Wanita dan kecantikan memang tidak dapat dipisahkan. Setiap wanita tanpa mengira dari mana asal mereka pasti mengutamakan kecantikan.

Golongan gadis dan wanita yang tinggal di kawasan bandar sudah tentu lebih terkehadapan dalam hal yang berkaitan dengan penjagaan diri ini kerana lebih terdedah kepada perkembangan terkini dalam dunia kecantikan.

Namun apabila ramai yang mengaitkan Kelantan dengan hal yang berkaitan dengan cantik dan kecantikan, sedikit sebanyak tentu asasnya. Malah bagi usahawan kosmetik mereka menjadi negeri itu sebagai penanda aras sama sesuatu produk yang dihasilkan itu bakal mendapat sambutan atau tidak.

Pada mereka jika produk itu laku di Kelantan, maka sudah pasti akan laris di tempat lain. Ia perlu diuji di pasaran Kelantan terlebih dahulu sebelum diedarkan ke tempat lain kerana yakin bahawa gadis dan wanita mereka lebih mengutamakan hal kecantikan berbanding dengan wanita-wanita di negeri lain.

Tentu ramai yang tidak bersetuju dengan pandangan ini kerana dakwaan itu tidak pernah dibuktikan dengan satu kajian terperinci. Namun bagi pengusaha produk kosmetik mereka percaya bahawa untuk untuk menentukan sama ada sesuatu produk itu akan laris atau tidak ia mesti dicuba di Kelantan.

Ini ditambah pula dengan kelahiran ramai usahawan kosmetik dari negeri itu yang secara tidak langsung turut mengiyakan pandangan bahawa wanita Kelantan sukakan kecantikan. Adakah ini bermakna apabila bercakap tentang kecantikan maka penanda arasnya adalah Kelantan?

 

Aznan Bakar adalah Pengarang Utusan Malaysia/Mingguan Malaysia