Kebimbangan terhadap kes culik pelajar - Utusan Malaysia

Kebimbangan terhadap kes culik pelajar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Di sebalik penafian pihak polis tentang dakwaan berlaku kes culik membabitkan pelajar sekolah rendah, ibu bapa tetap bimbang dengan jenayah tersebut.

Mungkin ada asas polis membuat penafian itu ke­rana dalam sesetengah kes yang didakwa tiada laporan rasmi dibuat oleh mangsa malah kes-kes yang dilapor dan disiasat juga terdapat keraguan.

Misalnya dalam satu kes cubaan culik pelajar di Perak minggu lalu, polis mengesahkan laporan yang dibuat hanya rekaan selepas ‘mangsa’ terpengaruh dengan jalan cerita filem penculikan dan sekadar mahu melihat tindakan polis dalam kes seperti itu.

Sebelum ini pun terdapat berita di media sosial kononnya mayat kanak-kanak yang telah dicuri organ dalamannya ditemukan tetapi tidak ada kes seperti itu disahkan berlaku di negara ini.

Apapun kebimbangan orang ramai terhadap kes-kes yang tular itu tidak boleh dipandang ringan kerana jenayah culik sememangnya berlaku. Akhbar ini pernah melaporkan April lalu, seramai 1,509 kanak-kanak dan remaja berusia 18 tahun dilaporkan hilang dalam tempoh dari 2020 hingga Februari lalu dengan 1,424 orang ditemui semula manakala 85 lagi masih hilang.

Nasib mereka tidak diketahui. Ibu bapa juga tidak mendapat sebarang panggilan daripada pihak yang mungkin melarikan mereka kecuali dalam kes Nurin Jazlin Jazimin, kanak-kanak berusia 8 tahun yang diculik pada 2007 apabila hanya mayatnya ditemukan selepas diperlakukan dengan kejam.

Dakwaan berlaku kes cubaan culik pelajar berdekatan kawasan sekolah di Pahang dan Kelantan minggu lalu menimbulkan kembali kebimbangan ibu bapa. Cerita mangsa tentang kejadian tersebut dan disokong pula oleh rakan-rakan yang menjadi bukti menunjukkan kes itu memang berlaku.

Sementara menunggu polis melengkapkan siasatan, semua pihak yang terlibat sama ada pelajar, ibu bapa, pentadbiran sekolah dan masyarakat juga sewajarnya membantu bagi mengelak jenayah itu berlaku.

Ada baiknya juga masyarakat bimbang dengan berita cubaan culik pelajar supaya mereka sentiasa peka dengan keadaan sekeliling dan mengambil langkah sewajarnya.

Bagi pelajar sendiri walaupun pada tahap usia yang rendah, sewajarnya mereka diberikan kefahaman tentang bahaya jenayah culik dan mengelak daripada bersendirian di tempat sunyi dan tidak sewajarnya.

Selain menugaskan pengawal keselamatan, pihak sekolah juga boleh memasang kamera litar tertutup yang boleh dijadikan rujukan manakala pihak polis mengambil langkah dengan menunjukkan keberadaan mereka di kebanyakan tempat tumpuan.

Sudah pasti tanggungjawab lebih besar adalah ibu apa yang perlu memastikan keselamatan anak-anak mereka semasa berada di luar rumah.

 

Nizam Abdul Hamid ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya