Keberkesanan pengangkutan awam kurang beban pengguna

Keberkesanan pengangkutan awam kurang beban pengguna

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kos pengangkutan merupakan antara beban kewangan terbesar yang ditanggung kebanyakan rakyat, khususnya mereka yang memiliki kenderaan sendiri. Beban itu bermula daripada ansuran pembiayaan kenderaan, kos bahan api, penyelenggaraan, insurans, parkir dan pelbagai perbelanjaan lain yang terus meningkat dari semasa ke semasa.

Tekanan kewangan ini bukan sahaja dirasai oleh mereka yang sudah berkeluarga malah turut membelenggu golongan muda yang baharu melangkah ke alam pekerjaan. Di Malaysia, memiliki kereta menjadi satu keperluan berikutan rangkain pengangkutan awam yang masih belum menyeluruh dan cekap.

Dalam banyak keadaan, seseorang terpaksa mengeluarkan wang pendahuluan untuk membeli motosikal atau kereta sebaik sahaja memperoleh pekerjaan. Selepas menanggung hutang pelajaran, mereka terpaksa pula membuat komitmen hutang baharu semata-mata untuk mendapatkan pengangkutan ke tempat kerja.

Hari ini, sebuah isi rumah memiliki dua atau tiga buah kenderaan bukan lagi sesuatu yang luar biasa. Ia juga bukan petunjuk kemewahan. Suami dan isteri masing-masing memerlukan kenderaan untuk ke tempat kerja manakala anak yang bekerja atau melanjutkan pengajian turut bergantung kepada kenderaan sendiri.

Jadi, tidak hairanlah apabila kemudahan baharu iaitu LRT Laluan Shah Alam (LRT3) yang dilancarkan minggu lalu mendapat sambutan menggalakkan dengan merekodkan antara 5,000 hingga 10,000 penumpang pada hari pertama operasinya.

Sambutan itu membuktikan rakyat sememangnya mahukan pilihan pengangkutan yang lebih baik bagi membolehkan mereka bergerak ke tempat kerja atau destinasi lain dengan kos yang lebih rendah, selain mengelakkan kesesakan lalu lintas.

Kebergantungan terhadap kenderaan persendirian ini kebanyakannya bukan soal gaya hidup tetapi berpunca daripada kekangan sistem pengangkutan awam.

Oleh itu, pembangunan rangkaian pengangkutan awam yang lebih menyeluruh, khususnya sistem rel, wajar terus menjadi keutamaan kerajaan terutama di Lembah Klang dan kawasan berpenduduk padat.

Walaupun gangguan teknikal terhadap perkhidmatan rel seperti LRT masih berlaku dari semasa ke semasa, sistem ini tetap menawarkan perjalanan yang lebih selamat, pantas dan berpatutan berbanding penggunaan kenderaan persendirian.

Walaupun memerlukan pelaburan yang besar, pembangunan sistem rel mampu meningkatkan mobiliti rakyat, mengurangkan kesesakan lalu lintas, mengurangkan beban kos sara hidup dan meningkatkan produktiviti negara.

Dalam jangka panjang, ia turut merangsang pembangunan kawasan sekitar stesen menerusi pembinaan perumahan, pusat perniagaan dan peluang ekonomi baharu.

Namun, pembinaan laluan rel sahaja tidak mencukupi jika keseluruhan ekosistem pengangkutan awam, khususnya aspek first mile dan last mile, tidak diperkasakan.

Isu yang dibangkitkan pengguna mengenai laluan pejalan kaki serta lintasan zebra yang tidak lengkap di Stesen LRT Stadium Shah Alam dan Stesen Dato’ Menteri baru-baru ini telah membuktikannya.

Ketua Pusat Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Law Teik Hua, juga berkata, ramai pengguna masih memilih kenderaan persendirian kerana berdepan kesukaran untuk bergerak dari rumah ke stesen rel atau dari stesen ke destinasi akhir, selain kekurangan rangkaian pengangkutan sokongan yang cekap.

Keberkesanan sistem pengangkutan awam negara boleh dilihat apabila kelak orang ramai tidak lagi terlalu bergantung kepada kenderaan persendirian mereka. Selagi rakyat masih terpaksa membeli kereta hanya untuk ke tempat kerja, selagi itulah pengangkutan awam belum berfungsi sepenuhnya.

Badrul Hafizan Mat Isa ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia