JPJ, polis jangan ‘ganggu’ perjalanan musim raya - Utusan Malaysia

JPJ, polis jangan ‘ganggu’ perjalanan musim raya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kesesakan yang semakin dirasai terutamanya di ibu negara sejak dua tiga hari lalu menandakan semakin dekat sambutan Tahun Baharu Cina. Tahun ini kaum Cina akan meraikan kedatangan tahun baharu berpaksikan zodiak arnab.

Tahun Baharu Cina yang jatuh pada hari Ahad dan Isnin ini memberi ruang kepada semua rakyat Malaysia menikmati cuti panjang. Justeru, dijangka mulai hari ini dan kemuncaknya Jumaat, lebuh raya di seluruh negara diramal terus dibanjiri sehingga 4 juta pengguna.

Pergerakan menghala ke kampung halaman di utara, timur atau selatan sudah tentu tidak hanya membabitkan kaum Tionghoa tetapi pelbagai kaum.

Ini kerana kegembiraan cuti perayaan termasuk Hari Raya Aidilfitri, Krismas atau Deepavali lazimnya ‘diraikan’ seluruh rakyat Malaysia tetapi dengan cara masing-masing.

Tahun Baharu Cina kali ini dijangka lebih meriah kerana rakyat Malaysia ‘bersedia’ membalas dendam selepas dua tahun sebelum itu pergerakan mereka dibataskan pandemik Covid-19.

Justeru, bagi melancarkan pergerakan ‘besar-besaran’ itu diharap kerja penurapan jalan, potong pokok, baiki lampu dan sekatan jalan oleh polis atau Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) perlu dihentikan sementara waktu.

Polis atau JPJ bukan dinafikan kuasa untuk memastikan pemandu kenderaan memiliki lesen, cukai kenderaan dan insurans tetapi jika diadakan sekatan sudah tentu ia menghuru-harakan lagi peningkatan mendadak kenderaan di semua jalan utama ketika itu.

Percayalah pemandu yang berbaris berkilometer dan boleh sampai berjam-jam menunggu giliran diperiksa menyumpah seranah penguat kuat yang mendirikan sekatan jalan. Lebih menyakitkan hati, sasaran polis dan JPJ itu tidak berapa kerat pun tetapi yang disusahkan terlalu ramai.

Justeru, jika pihak berkuasa berasa perlu melakukan penguatkuasaan kepada pemandu kenderaan yang tidak patuh undang-undang lakukan secara tidak memudaratkan semua pengguna.

Contohnya JPJ atau polis boleh memeriksa kenderaan yang mencurigakan secara rambang dengan menahannya di tepi jalan. Selain itu, teknologi dimiliki penguat kuasa semakin berkembang apabila polis atau JPJ boleh menyemak status semua kenderaan dari dalam kereta peronda.

Begitulah juga dengan jadual menurap jalan, memotong pokok atau membaiki lampu jalan, tolong jangan lakukan ketika musim raya.

Berdasarkan pengalaman bagi semua musim perayaan, ramai yang mengadu terpaksa menghabiskan masa antara 12 hingga 18 jam untuk perjalanan ke pantai timur yang lazimnya cuma sekitar tujuh atau lapan jam manakala perjalanan ke utara dalam tempoh sama.

Begitu juga dengan operasi di plaza tol di seluruh negara diharap ia tidak menyebabkan kesesakan melampau hanya kerana pelanggan menunggu giliran untuk buat bayaran.

Pemegang konsesi lebuh raya sepatutnya bersedia untuk tidak membazirkan masa pelanggan.
Strategi tersebut selaras dengan arahan Kementerian Pengangkutan yang mengumumkan kenderaan barangan dilarang berada di jalan raya pada 20 dan 21 Januari iaitu sebelum Tahun Baharu Cina dan 24 dan 25 Januari selepas dua hari perayaan tersebut.

 

Teon Eg ialah Pengarang Beita Utusan Malaysia

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya