Jom sedekah BAP kepada sekolah

Jom sedekah BAP kepada sekolah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Dalam bajet mini yang dibentangkan di Dewan Rakyat kelmarin, kerajaan bersetuju untuk menyalurkan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) sebanyak RM150 untuk setiap pelajar tanpa mengira pendapatan ibu bapa.

Bantuan ini sudah diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan sejak 2012 dengan bayaran  RM100 setiap pelajar dan terhad kepada ibu bapa berpendapatan di bawah RM3,000.

Namun, dalam pembentangan Bajet 2023 oleh Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz pada Oktober lalu, untuk tahun depan, bantuan itu diberikan kepada semua pelajar sekolah.

Faktor Pilihan Raya Umum Ke-15 semakin hampir ketika bajet itu dibentang mungkin menjadi asbab BAP diberikan kepada semua pelajar.

Walaupun bajet itu tergantung kerana Barisan Nasional tidak memenangi pilihan raya itu, namun kerajaan perpaduan tidak menghampakan rakyat apabila meneruskan pemberian bantuan itu.

Sejumlah 3.2 juta pelajar tahun satu hingga tingkatan lima akan menerima bantuan itu yang dijangka pada Januari ini dengan sebanyak RM450 juta diperuntukkan untuk tujuan itu.

Bagi ibu bapa yang benar-benar mengharapkan bantuan ini, mereka tentunya menarik nafas lega. Sekurang-kurangnya ringanlah sedikit beban mereka terutama yang ada ramai anak yang sedang bersekolah.

Tetapi ramai juga yang sebenarnya tidak memerlukan bantuan ini. Ia ibarat wang percuma daripada kerajaan.  Malah, mungkin wang itu akan ‘dibazirkan’ untuk tujuan tidak penting kerana itu dianggap rezeki terpijak.

Justeru, bagi yang berkemampuan, apa kata kalau wang itu diserahkan sahaja kepada pihak sekolah untuk dimanfaatkan. Ia boleh disalurkan kepada Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) sama ada sebagai sumbangan atau dijadikan sebahagian bayaran PIBG.

Dengan itu, PIBG boleh merangka program untuk semua pelajar terutama untuk mereka yang bakal menghadapi peperiksaan utama. Kalau wang yang dikumpulkan agak banyak, maka tidak perlulah PIBG dan sekolah memohon sumbangan lain daripada ibu bapa.

Kalau tidak mahu menerusi PIBG, wang itu juga boleh disalurkan kepada guru kelas masing-masing yang boleh digunakan untuk pelbagai tujuan sama ada keceriaan kelas atau program-program lain seperti pembelian buku latih tubi, surat khabar dan juga lawatan.

Bagaimanapun, apabila melibatkan soal duit, pihak sekolah mungkin ‘tidak berani’ membuat cadangan supaya BAP ini disedekahkan kerana bimbang dikecam. Mungkin Pengerusi PIBG adalah individu yang paling sesuai untuk suarakan cadangan ini.

Dalam masa yang sama, kerajaan juga wajar menunda tarikh penyaluran bantuan ini ke bulan Februari atau semasa cuti akhir persekolahan yang bermula 17 Februari ini.

Bukan apa, ini bagi memastikan ia benar-benar digunakan untuk membuat persediaan pembukaan penggal baharu sekolah 2023 dan mengelak wang itu ‘terpakai’ untuk perkara lain.  – UTUSAN

  • Ismail Daud ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia

 

 

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya