Jika Bajet ditolak, perlukah ikut Westminster? - Utusan Malaysia

Jika Bajet ditolak, perlukah ikut Westminster?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TIADA gambaran yang jelas apa akan berlaku di Parlimen Khamis, 26 November ini. Namun yang terang lagi bersuluhnya, ia menyaksikan tidak bersatunya politik Melayu.

Masing-masing di dalam dan luar Perikatan Nasional (PN) menunjukkan ‘kegagahan’ terhadap kumpulan politik masing-masing. Satu lagi kumpulan mahu menagih pengaruh dan kepentingan peribadi.

Dalam keadaan begitu, undi belah bahagian boleh diminta. Yang Dipertua Dewan Rakyat tidak boleh menolaknya. Ia akan menentukan ‘hidup mati’ belanjawan yang peruntukan terbesar RM322.5 bilion bukan saja akan memberi manfaat kepada masyarakat pertengahan tetapi akan menghimpit orang susah seperti B40 dan nelayan andai tidak diluluskan.

Namun demikian situasi mirip persoalan lulus atau tidak belanjawan pernah berlaku. Sebaik sahaja belanjawan dibentangkan di Dewan Rakyat pada November 1999, parlimen dibubarkan, disusuli pilihan raya umum. Kerajaan baharu yang dibentuk selepas itu menggunakan peruntukan Perkara 102 perlembagaan untuk menguruskan operasi kerajaan dan membayar gaji kakitangan awam. Cuma situasi waktu itu berbeza – Barisan Nasional (BN) kuat.

Menjelang lusa ini, ada pihak berkata undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri sewajarnya tidak perlu apabila soal Bajet dikemukakan.

Sekiranya Bajet ditolak, ia bermakna Dewan Rakyat secara automatik menolak kerajaan hari ini. Itu pandangan konvensyen parlimen model Westminster Komanwel. Dan Perdana Menteri harus persembahkan keputusan ini kepada Yang di-Pertuan Agong.

Pada satu hakikat lain, jika Bajet ditolak, Perdana Menteri boleh berdiam diri. Serahkan segalanya kepada Agong, yang bukan bermakna sudah tumbang kerajaan.

Di pihak yang beria-ia menolak Bajet sebabnya tentu sekali lebih kepada mahu menolak Perdana Menteri. Motifnya berkisar politik, legitimasi soal sah Perdana Menteri. Ini dendam kesumat politik yang ada pada dada masing-masing sebab tidak mahu Tan Sri Muhyiddin Yassin. Bila Muhyiddin sudah `cedera’, maka seluruh Kabinet yang terletak di bawah Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan habis.

Namun ia juga tidak semudah itu. Ada nas bila Bajet ditolak, kerajaan tetap masih berkuasa. Namun bab ini tidak banyak digunakan. Banyak yang diguna ialah prinsip Perlembagaan United Kingdom (UK) tadi – model Westminster. Cuma ia undang-undang tidak bertulis. Hanya konvensyen – konsep konvensional yang terawal di UK.

Maka sama ada kita di Malaysia nak mengikutnya atau tidak, itu perkara lain.

Apa pun, kita tunggu dan lihat apakah kerajaan PN pimpinan Muhyiddin mampu melepasi cabaran getir Khamis nanti.

Zulkifli Jalil ialah Timbalan Pengarang Utusan Malaysia.

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya