Jerebu: Indonesia kena terima bantuan asing - Utusan Malaysia

Jerebu: Indonesia kena terima bantuan asing

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HARI ini sudah lebih dua bulan, negara berhadapan isu je­rebu akibat kebakaran hutan di wilayah Kalimantan Tengah dan Sumatera Selatan, Indonesia. Setakat ini, belum nampak masalah ini akan selesai dalam masa terdekat.

Berdasarkan kenyataan Menteri Alam Sekitar Indonesia, Jumhur Hidayat semalam, kebakaran hutan itu dijangka dapat dipadamkan dalam tempoh sebulan lagi. Masalah utama dihadapi pasukan pemadam api adalah bekalan air yang terhad.

Sudah tiba masanya Indonesia menerima bantuan dari Malaysia dan Singapura. Ia bagi mempercepatkan usaha memadam kebakaran yang berlaku.

Malaysia sebelum ini menawarkan pesawat pemadam kebakaran, tiga helikopter dan 52 anggota bagi membantu operasi berkenaan. Kita mahu bantu kerana impak dan kesan jerebu turut menjejaskan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

Kebakaran hutan di Kalimantan, Indonesia itu dikatakan memusnahkan sekitar 57,081 hektar kawasan atau 570.81 ki­lometer persegi (km2) iaitu bersamaan lebih separuh kelua­san Perlis.

Perlis yang merupakan negeri terkecil di Malaysia berkelua­san 819 ki­lometer persegi .

Walaupun angka itu kecil bagi Indonesia, secara relatifnya ia amat besar bagi Malaysia dan Singapura. Kita sudah lama rindukan udara segar dan pemandangan jelas serta indahnya bangunan pencakar langit ibu negara.

Pembakaran tanah gambut boleh menghasilkan asap le­bih banyak dan berlarutan kerana api berupaya merebak di bawah permukaan tanah yang menyukarkan usaha pemadaman sepenuhnya.

Asap daripada kebakaran terbuka itu juga dibawa angin merentasi sempadan termasuk ke Malaysia dan Singapura, bergantung pada arah dan kelajuan angin serta keadaan atmosfera semasa.

Selain itu, Kementerian Kesihatan berkata, perbandingan data Minggu Epidemiologi (ME) 39 dan ME 40 tahun ini me­nunjukkan kes jangkitan saluran pernafasan atas meningkat sebanyak 10.43 peratus, daripada 3,509 kepada 3,875 kes.

Menurut kementerian itu, kes konjunktivitis atau radang mata pula meningkat sebanyak 26.47 peratus, daripada 102 kepada 129 kes. Semuanya berpunca daripada jerebu.

Malaysia juga telah melakukan 60 penerbangan operasi pembenihan awan dilaksanakan di seluruh negara setakat 12 Oktober lalu bagi menangani cuaca kering dan impak jerebu.

Setakat pukul 3 petang semalam, Pasir Gudang, Johor kekal merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tertinggi apabila meningkat kepada 181 berbanding 180 satu jam sebelumnya.

Kualiti udara di Lembah Klang juga turut terus merosot apabila Klang merekodkan bacaan 178 dan Johan Setia (177).

Kos bagi satu kali operasi pembenihan awan dianggarkan melebihi RM100,000 setiap operasi berdasarkan kos semasa (termasuk kos bahan api pesawat milik Tentera Udara Diraja Malaysia atau TUDM).

Satu perkara yang perlu diberi perhatian oleh kerajaan negara jiran adalah menghapuskan pengecualian yang membenarkan pembakaran tanah seluas sehingga dua hektar bagi setiap isi rumah mengikut amalan tradisional.

Inilah yang didakwa punca sebenar masalah jerebu yang berlaku saban tahun. – UTUSAN

Mohd. Radzi Mohd. Zin ialah Pengarang Berita Kanan Utusan Malaysia