Jangan terkorban sambut hari raya korban

Jangan terkorban sambut hari raya korban

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan, Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) dianggap bahaya selepas mencatatkan 503 kemalangan dalam tempoh lima bulan tahun 2023 iaitu bermula Janua­ri hingga 31 Mei, membabitkan 14 kes kematian dan tiga cedera parah.

Selain itu, sebanyak 1,084 kemalangan dengan 24 kes kematian manakala 17 lagi cedera parah dilaporkan di LPT2 sepanjang tahun 2022.

Statistik ini memang membimbangkan. Lebih-lebih lagi ketika lebih dua juta kenderaan dijangka menggunakan Le­buhraya Pantai Timur untuk pulang berhari raya di kampung sempena Aidiladha, hari ini.

Ini tidak termasuk kira-kira dua juta lagi yang menggunakan menggunakan Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) bagi perjalanan ke utara dan selatan tanah air sempena Aidiladha.

Untuk itu, setiap pengguna jalan raya perlu mempersiapkan diri dalam aspek fizikal dan mental untuk mengharungi perjalanan yang diyakini sesak berikutan pertambahan mendadak kenderaan.

Kita menyambut baik kenyataan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) yang akan melakukan kajian secara forensik bagi mengenal pasti punca-punca yang menyumbang kepada kemalangan di lebuh raya terutamanya di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) yang dianggap bahaya.

Namun demikian, tidak dinafikan faktor manusia turut menyumbang kepada kemalangan yang berlaku. Antaranya keletihan tetapi paksa juga diri memandu, memandu terlalu laju atau melulu dan kurang sabar ketika memandu.

Untuk memandu pulang ke kampung yang memakan masa 10 ke 14 jam berbanding tempoh enam ke tujuh jam pada hari-hari biasa bukanlah mudah. Ia perlukan ‘pengorbanan’.

Rehat yang cukup dan persediaan pemandu dalam aspek fizikal dan mental amat penting. Pastikan anda tidur secukupnya sebelum memandu dan jika mengantuk, tukar pemandu atau berhenti tidur di kawasan Rehat dan Rawat atau kawasan-kawasan yang selamat.

Biarpun semangat berkobar-kobar untuk pulang ke kampung bertemu ibu bapa tercinta dan melakukan sembelihan korban, jangan sampai kita terkorban akibat terlibat nahas jalan raya.

Ingat pesan orang tua-tua, “biar lambat asal selamat” dan “tidak lari gunung dikejar”.

Sementelahan itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut melaksanakan Op Lancar sempena perayaan Aidiladha bagi memastikan aliran trafik bergerak dengan baik di seluruh negara, bermula semalam hingga Ahad ini.

Tumpuan operasi adalah di semua lebuh raya utama se­perti Lebuhraya Utara Selatan, Lebuhraya Karak, Lebuhraya Pantai Timur (LPT) dan lebuh raya yang menghubungkan negeri dan daerah.

Kepada pengguna jalan raya, patuhi peraturan dan memandulah secara berhemah. Jadikan peribahasa “ikut hati, mati, ikut rasa binasa dan ikut mata buta” sebagai panduan.

Lagipun, jalan raya untuk dikongsi bersama! –UTUSAN

  • Mohd. Radzi Mohd. Zin ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia