Jangan terbuai ada wang sendiri

Jangan terbuai ada wang sendiri 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Angka 72.1 peratus lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak melanjutkan pengajian mereka, sebaliknya memilih untuk bekerja bukan sahaja terlalu tinggi, malah cukup membimbangkan. Mungkin juga boleh disimpulkan bahawa mereka tergolong dalam kelompok yang memperoleh keputusan yang kurang cemerlang.

Antara faktornya ialah belajar tinggi bukan jaminan mendapat pekerjaan bergaji tinggi.  Bagaimana mereka boleh berfikiran begitu?.  Mereka tidak pula mempersoalkan, apakah ada jaminan masa depan jika hanya berbekalkan sijil SPM.

Satu lagi faktor ialah pengaruh pempengaruh media sosial yang ‘berjaya’. Memang lumayan jika benar-benar ramai pengikut tetapi berapa kerat sahaja yang sampai ke tahap itu. Yang lain sekadar membazir waktu bercakap seorang diri atau terkinja-kinja depan gajet.

Ada wang sendiri (kebanyakannya dengan bekerja sebagai penghantar makanan) dalam usia semuda 18 tahun memang menyeronokkan. Boleh beli apa yang dimahukan. Gajet berharga ribuan ringgit sehingga ke pakaian yang menjadi idaman. Sanggup kerja pagi sampai ke malam.

Tambah mudah jika tinggal bersama ibu bapa. Habis kerja, balik rumah, makanan sudah terhidang. Tiada komitmen bulanan. Tidak perlu fikir soal sewa rumah, bayar bil. Malah bayaran ansuran motosikal pun mungkin ibu bapa yang langsaikan setiap bulan.  Mereka tenggelam dalam ‘keseronokan’ sementara itu.

Bukan tidak boleh bekerja dalam bidang ekonomi yang baharu ini. Ramai yang mampu memperoleh pendapatan ribuan ringgit dalam bidang ini. Ramai yang mampu menyara keluarga tetapi bagi generasi muda, menambah pengetahuan perlu diutamakan terlebih dahulu.

Sangat penting bagi orang muda bersedia untuk berdepan dengan cabaran masa depan. Dunia hari ini berubah dengan sangat pantas. Dalam keadaan ekonomi yang perlahan ketika ini, mungkin peluang pekerjaan agak terhad. Tetapi siapa tahu dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang.

Persiapkan diri. Jangan nanti menyesal dan gigit jari melihat orang lain merebut semua peluang yang ada. Seboleh mungkin, carilah pekerjaan tetap yang menjamin masa depan. Semasa muda, kita mungkin boleh kerah tenaga siang hingga ke malam untuk mencari duit tetapi apa jaminan apabila dimamah usia.

Tanamkan semangat belajar hingga ke peringkat tertinggi. Tak semestinya kita akan bekerja dalam bidang yang kita belajar tetapi ilmu itu akan mematangkan diri, menjadikan kita lebih kreatif, mampu berfikir secara kritikal dan boleh berjaya walau di mana pun kita berada.

Semua pihak terutama ibu bapa perlu peka terhadap keputusan yang dibuat oleh generasi muda ini. Bertegas jika perlu. Jangan biar mereka terbuai dengan wang yang tidak seberapa sehingga tidak mahu meneruskan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

Nasihati mereka dan sedarkan generasi ini bahawa mereka adalah calon pemimpin Malaysia masa hadapan yang akan membawa aspirasi pembangunan negara. – UTUSAN

  • Ismail Daud ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia

 

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya