SAYA terkenangkan kisah 21 tahun lalu selepas membaca laporan mengenai seramai 25,783 calon lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan setara yang tidak mendapat tawaran ke universiti awam.
Kegagalan mendapat tawaran ke universiti memang meninggalkan rasa kecewa dan persoalan tentang masa depan. Saya juga pernah melalui pengalaman yang sama. Selepas menamatkan STPM, saya pada awalnya gagal mendapat tawaran untuk melanjutkan pengajian ke universiti.
Ketika itu, saya merasakan keputusan STPM yang diperoleh selain penglibatan aktif dalam berpersatuan sudah cukup untuk mendapat tempat dalam salah satu jurusan yang dipilih. Keadaan menjadi lebih berat kerana bapa saya ketika itu sedang sakit kuat akibat kanser. Harapan terakhirnya supaya saya dapat meneruskan pengajian ke universiti.
Saya membuat rayuan dan berusaha mendapatkan sokongan daripada beberapa pihak bagi membantu menyokong rayuan berkenaan. Ketika itu, saya tidak lagi kisah apa jurusan yang bakal diterima. Apa yang saya fikir, asalkan dapat masuk ke universiti.
Ketika rakan-rakan lain sudah mendaftar di universiti, saya masih menunggu keputusan rayuan. Saya kemudian menjadi guru sandaran di sebuah sekolah rendah yang terletak tidak jauh dari rumah saya di Seremban. Rupanya, pengalaman mengajar murid di sekolah itu hanyalah selama seminggu. Saya ditawarkan bagi kemasukan kedua untuk melanjutkan pengajian ke Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam bidang komunikasi.
Saya lega kerana UKM tidaklah terlalu jauh. Jika berlaku apa-apa, saya masih boleh pulang dengan menaiki komuter. Pada hari pendaftaran, kakak dan abang ipar menghantar saya ke kampus. Bapa yang sedang sakit dan ibu tidak dapat ikut bersama.
Berbeza dengan rakan-rakan yang menerima tawaran lebih awal, kami yang mendapat tawaran kemasukan kedua tidak melalui pengalaman Minggu Mesra Mahasiswa. Hari-hari sebagai mahasiswa berlalu sehingga tibalah hari pertama peperiksaan semester pertama.
Pada waktu Subuh, saya menerima panggilan daripada kakak yang memberitahu bapa telah meninggal dunia. Kakak dan abang ipar segera mengambil saya di kampus untuk pulang ke rumah. Semua urusan termasuk pengebumian bapa diselesaikan sebelum waktu Zuhur. Pada sebelah petangnya, saya tetap kembali untuk menduduki peperiksaan tersebut.
Itulah kisah saya pada 2005. Setiap orang mempunyai kisah dan sejarah kehidupan masing-masing. Ada yang jalannya mudah dan lancar tidak kurang juga yang berdepan pelbagai kesukaran, itulah kehidupan. Apa yang penting, jangan terlalu kecewa dan cepat menganggap satu kegagalan sebagai penamat kepada segala-galanya.
Kepada calon gagal mendapat tawaran ke universiti, jangan pernah berputus asa. Buat rayuan seperti yang disarankan Kementerian Pendidikan Tinggi. Jangan padamkan impian untuk memasuki dan melanjutkan pengajian ke universiti .
Cari juga peluang dan beberapa laluan lain termasuk mempertimbangkan bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) selain bidang-bidang yang mempunyai peluang pekerjaan yang banyak seperti kejururawatan. Apa yang lebih penting adalah kerjaya selepas tamat pengajian untuk kita membina kehidupan dan membantu keluarga.
Badrul Hafizan Mat Isa ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia – UTUSAN
Jangan putus asa jika gagal ke universiti

Media Mulia TV
Copyright © 2025 Media Mulia Sdn Bhd 201801030285 (1292311-H). All Rights Reserved