Jangan pula kita terlopong nanti!

Jangan pula kita terlopong nanti!

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DENGAN anggaran setengah juta lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak mahu sambung pengajian ke peringkat lebih tinggi dalam tiga tahun ini sejak tahun 2020, seharusnya ini memeranjatkan kita semua.

Pasti sebahagian besar mereka anak muda Melayu. Apa punca insiden ini berlaku? Tak perlu analisis berat-berat de­ngan statistik, formula atau data bagai.

Permasalahan menimpa orang muda yang baru hendak kenal dunia ini termasuk yang akan terima keputusan SPM 2022 lusa ini disebabkan dua benda.

Pertama, kita asyik berpolitik. Kemelut besar politik negara bermula 2018 yang diburukkan dengan hentaman pandemik Covid-19.

Tak pernah serik, kilat politik terus sambar menyambar tanpa henti sehingga ke hari ini. Berpolitik kita macam makan nasi sampai lupa usaha perjuangkan bangsa dan negara.

Mangsanya anak muda tadi. Sudahlah akademik dan intelek­nya tak ke mana, kita hilang pula erti budi dan budaya mulia – yang aspek ini jelas sudah ditinggalkan sebagai bagasi usang.

Insiden di Perlis sehari dua ini melibatkan seorang ibu tua hidap strok maut dipukul anak sendiri barangkali bukan lagi kes terpencil dalam lima, 10 tahun mendatang.

Lihat sahaja kecoh sesi soal jawab dan berbahas di Dewan Rakyat menampilkan sahsiah ejekan dan sorak sorai tidak layak dicontohi.

Kini seolah-olah rakyat sudah sampai ke peringkat terima sahaja apa yang tersaji dan disajikan dalam petak-petak kehidupan sosiobudaya pihak atasan dan orang politik. Sementara media sosial amat rancak memfitnah dan menggunakan bahasa songsang.

Yang amat dirisaukan kalangan anak muda kita bila orang tua mereka atau orang lama cerdik pandai sudah tidak ada lagi.

Terkulat-kulat dan terlopong nanti. Pada saat hidup kita di Malaysia terlalu bergantung kepada tenaga asing, orang asing, bahasa asing dan budaya asing, pasti amat sukar kelak hendak menentukan apa sudah jadi kepada kemampuan, tabii dan sifat semula jadi warga Malaysia sendiri.

Hendak makan, orang lain yang masakkan dan hidangkan. Hendak baiki rumah, orang lain yang usahakan. Hendak bina kilang, bangunan, anak bangsa tidak lagi melaksanakannya.

Mungkin kontraktor besarnya anak watan, tetapi kakitangan dan tenaga kerjanya semua dari luar tanah air. Kita tidak lagi upaya menggunakan tulang empat kerat kita lagi.

Kita sudah jadi ‘bangsawan’. Sudah jadi semacam overload kita. Pandai mengarah, tapi tak pandai mengikut. Kalau terpelajar kita, tidak mahu lagi bekerja bawah-bawah.

Semuanya mahu tugasan atas-atas. Kerja 3D – yang diistilah kerja kotor – dipandang hina, semua serah kepada pendatang.

Dalam keadaan begini juga soal-soal pembudayaan, bahasa, budi, warisan, seni dan cabang-cabang hidup positif yang lain tercicir dan dicicirkan. Ibarat menyukat beras dengan cupak, masuk tak genap keluar dan luak.

Amat tepat pepatah lama: “Bila guru kencing berdiri, murid kencing berlari”. Si­tua­si setengah juta lepasan SPM enggan lagi menyahut cabaran menerokai ilmu aras tinggi mesti dihentikan melalui perancangan teliti pendidikan dan latihan sumber manusia yang agresif.

Dan sudah tentu amat berbaloi jika ada kesedaran daripada orang politik kita – yang nampaknya belum lagi insaf-insaf! – UTUSAN

  • Zulkifli Jalil adalah Timbalan Pengarang Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.