Jangan main isu perkauman

Jangan main isu perkauman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Titah Mesyuarat Majlis Raja-Raja Ke-260 kelmarin yang meminta para pemimpin di negara ini berhenti membangkitkan isu perkauman atau agama dengan tujuan menghasut rakyat hingga boleh mencetuskan ketidakselesaan masyarakat berbilang kaum amat dialu-alukan.

Peringatan itu sangat penting untuk memastikan Malaysia kekal aman dan makmur seterusnya mencipta kemajuan. Inilah resipi utama mengapa negara boleh sampai ke tahap sekarang yang kita nikmati kini.

Pemimpin terdahulu dan nenek moyang kita telah ba­nyak berkorban untuk memastikan Malaysia sepakat. Seterusnya mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.

Sesungguhnya, bukan mudah Malaysia dengan rakyat berbilang kaum mengekalkan nikmat kemerdekaan hingga hari ini jika tiada asas perpaduan kukuh. Keharmonian berbilang kaum pernah diuji dalam insiden berdarah 13 Mei 1969.

Jika disorot sejarah perjalanan negara yang sudah 65 tahun merdeka, Malaysia tidak pernah sunyi daripada insiden mampu menggugat keharmonian kaum. Alhamdulillah ia berjaya diatasi.

Pembentukan Malaysia adalah melalui kontrak sosial iaitu persetujuan yang dicapai sebelum merdeka dalam kalangan pemimpin Melayu, Cina dan India, masing-masing menerusi parti yang mereka wakili iaitu UMNO, MCA dan MIC.

Pemuafakatan itu mendapat sokongan rakyat sebagaimana terbukti melalui kemenangan Parti Perikatan pada Pilihan Raya Pertama 1955. Hakikat inilah yang perlu dihadamkan oleh rakyat terutama golongan muda atau generasi Z yang lahir dalam tahun 1995-2010.

Jangan sewenang-wenangnya membuat hantaran-hantaran di media sosial yang dengan sengaja menimbulkan rasa curiga antara kaum. Lebih-lebih lagi isu berkaitan agama. Semua ini ibarat sengaja menjolok sarang tebuan.

Menyebarkan kebencian memang mudah lebih-lebih lagi dalam zaman dunia tanpa sempadan. Hanya dengan menekan satu butang, sekelip mata ia mencapai ratusan ribu pembaca, sekelip mata itu juga kerosakan telah berlaku (damage has been done).

Kaum minoriti bukan dalam kalangan Bumiputera di negara ini sepatutnya berterima kasih kerana mereka diberi status kerakyatan secara jus soli (bahasa Latin bagi hak untuk kawasan), iaitu taraf kerakyatan berdasarkan tempat kelahiran tanpa mengira bangsa dan keturunan.

Atas dasar toleransi yang tinggi daripada pihak penduduk asal orang Melayu, bangsa lain perlu mengelak daripada mempertikaikan hak Melayu dan Islam.

Generasi muda bukan Melayu atau Bumiputera pada era digital seharusnya membuang jauh-jauh persepsi negatif kononnya kontrak sosial sebagai sesuatu yang sudah lama berlalu dan tidak lagi relevan masa kini.

Kontrak sosial dan jus soli kekal relevan sehingga kini serta tidak seharusnya dijadikan polemik dan dipertikaikan.

Sesuai dengan kerajaan perpaduan, mari kita tumpukan segala usaha untuk meningkatkan lagi perpaduan. Bukannya membakar sentimen perkauman dan agama. – UTUSAN

  • Mohd. Radzi Mohd. Zin ialah Pengarang Berita, Utusan Malaysia