Jangan lupa ada negeri di Semenanjung juga susah

Jangan lupa ada negeri di Semenanjung juga susah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LAWATAN Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dalam program Kembara Kenali Borneo selama 11 hari menarik perhatian hampir seluruh rakyat.

Sepanjang perjalanan, rakyat bertemu dan menyambut Yang di-Pertuan Agong selain menceritakan masalah dihadapi mereka. Kebanyakan aduan penduduk sepanjang kembara itu membabitkan kemunduran, infrastruktur dan taraf hidup. Yang di-Pertuan Agong merasai keramahan penduduk tetapi pada masa sama melihat kepayahan rakyat setempat.

Hari ini kebanyakan isu dibangkit membabitkan tuntutan Sabah dan Sarawak. Apa yang dinyatakan dalam perjanjian yang membolehkan kedua-dua negeri itu menjadi sebahagian Malaysia. Hak berkaitan kekayaan mineral, agama, autonomi pendidikan dan kesihatan.

Ada cadangan untuk menggunakan mata wang sendiri selain syarikat penerbangan. Sejak PRU14, kedua-dua negeri ini yang menjadi kingmaker dalam menentukan siapa berkuasa di Putrajaya, memberi kelebihan dalam membuat pelbagai tuntutan.

Jumlah penduduk Sarawak 2.8 juta dan Sabah 3.5 juta merangkumi 18.7 peratus daripada keseluruhan penduduk Malaysia seramai 33.57 juta. Sarawak lebih bertuah kerana pemberian cukai petroleum sahaja berjumlah RM13 bilion sejak 2019.

Pada 2022, Sarawak merekodkan pendapatan tertinggi dalam sejarah iaitu RM11.9 bilion, menjadikannya negeri dengan pendapatan tertinggi di Malaysia.

Untuk perbandingan, Selangor yang dianggap nadi ekonomi negara dan penyumbang terbesar kepada KDNK hanya mencatatkan pendapatan RM2.505 bilion pada 2022.

Negeri Sembilan yang terletak bersebelahan Selangor meraih pendapatan sekitar RM450 juta. Perlis, negeri terkecil di Malaysia hanya menjana pendapatan kerajaan negeri sekitar RM110 juta. Kelantan yang dianggap mundur mempunyai pendapatan kerajaan hampir RM1 bilion, hampir 10 kali ganda berbanding Perlis.

Tetapi apabila dilihat kepada Perlis dan Negeri Sembilan, tiada rintihan keterlaluan dan meraung nasib serba kekurangan walaupun pendapatannya jauh lebih kecil.

Perlis walaupun bersaiz kecil, tanpa mineral bumi, berkembang menggunakan sumber sedia ada terutama dalam menarik pelancong. Program pelancongan yang dihidangkan cukup menarik selain menggunakan tarikan sebagai bandar persinggahan sempadan.

Negeri Sembilan menggunakan kedudukan strategiknya untuk menarik pelaburan. Dalam lima tahun, negeri yang terkenal dengan masak lemak itu menarik pelaburan asing berjumlah RM23.1 bilion.

Pemimpin Perlis dan Negeri Sembilan tidak meratap mengenai ketidakadilan dan menagih bantuan seperti semua tidak kena. Sebaliknya barisan pemimpin di negeri itu berusaha menggunakan sumber sedia ada, tanah, kemudahan, sumber manusia dan kekuatan untuk berdiri sendiri.

Kemiskinan dan kekurangan infrastruktur tidak hanya wujud di Borneo tetapi di Semenanjung. Mungkin pemimpin di sana harus bertanya kepada pemimpin terdahulu yang selama 60 tahun menjadi sebahagian Malaysia, apa yang mereka lakukan. Anda sepatutnya bertanya kenapa anda gagal sebelum menyalahkan pihak lain.

Kepimpinan bukan hanya mengenai mengadu dan menyenaraikan seribu satu masalah dan apa yang perlu kita dapat. Kepimpinan sebenar adalah mereka membawa kejayaan walaupun ketika semua petunjuk tidak menyebelahinya. – UTUSAN

  • Mohamad Azlan Jaafar adalah Pengarang Kumpulan Media Mulia Sdn. Bhd.

 

×