Jangan ‘kerana pulut santan binasa’ - Utusan Malaysia

Jangan ‘kerana pulut santan binasa’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DIFAHAMKAN, ada lagi bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dari Johor (bergelar wakil rakyat sebelum Dewan bubar 22 Januari lalu) akan keluar parti.

Setakat ini Mazlan Bujang (Puteri Wangsa) dan Datuk Mohd. Izhar Ahmad (Larkin) dari Bersatu sudah angkat kaki.

Bukan itu yang menarik perhatian saya sebenarnya. Tidak pun jadi buah mulut rakyat. Cuma yang cukup menggamit tumpuan bila Sabtu lepas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akui bahawa “siapa saja tarik, kerajaan tumbang”.

Pengakuan itu ekoran kenyataan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menegaskan sokongan Bersatu dan Pas, masing-masing memiliki 31 dan 18 kerusi Parlimen di Dewan Rakyat terhadap kerajaan, bersyarat. Ia kerana rasa kurang senang dengan tindakan UMNO bubarkan DUN Johor tanpa berunding dengan Perikatan Nasional (PN) terlebih dahulu, sekali gus membuka jalan Pilihan Raya Negeri (PRN).

Tindakan mengugut tidak untungkan sesiapa. Apatah lagi Muhyiddin sendiri adalah Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN).

Banyak perkara waktu ini yang sedang dirancang kerajaan untuk memberi kesejahteraan kepada rakyat. Kalau politik negara terus bergolak, pelabur tidak jadi masuk. Bahkan yang ada pun akan cabut lari, menyebabkan ekonomi kembali merudum.

Bila akhbar ini dimaklumkan akan ada kumpulan dari PN mahu bertemu Perdana Menteri esok untuk meluahkan perasaan mereka terhadap tindakan bubar DUN Johor, kita tertanya-tanya di mana salahnya isu bubar itu. Bukankah itu hak menteri besarnya dan diperkenan Sultan?

Payah untuk rakyat biasa menilai percaturan orang-orang politik. Sebab itu ada kalangan mereka digelar ‘politikus’ – kerana meletakkan rakyat dalam keadaan ‘gajah sama gajah bertempur, pelanduk mati di tengah-tengah’.

Kerajaan yang masuk Perdana Menteri ketiga sejak 2018 ini perlu ambil iktibar.

Beringatlah akan ‘sandiwara-sandiwara’ yang dimainkan mereka dalam kerajaan yang baru ambil alih Malaysia tempoh hari. Isu-isu dimainkan konon pasal ‘rompakan’ dan ‘kehilangan’ wang bayaran balik Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) berjumlah RM19.4 bilion. Juga, status hutang negara yang kononnya mencecah RM1 trilion, sudah cukup memudaratkan ekonomi negara.

Dakwaan wang GST dirompak menjejaskan keyakinan pelabur berkenaan tadbir urus kewangan negara. Sehingga akibatkan pelabur lari dan mencatatkan aliran keluar dana asing mencecah RM38 bilion.

Pengeluaran dana asing yang berterusan keluar daripada Malaysia ketika itu juga menjejaskan Bursa Malaysia sehingga kehilangan 200 mata atau bersamaan dengan kemerosotan nilai sehingga RM270 bilion.

Aliran keluar dana asing menyebabkan Ringgit Malaysia menyusut berbanding dolar Amerika (USD) iaitu purata RM4.10 bagi setiap 1 dolar Amerika berbanding di RM3.80 pada awal tahun 2018 ketika kerajaan terdahulu memerintah.

Kebanyakan pelabur untuk tahun 2022 ini mengambil sikap ‘tunggu dan lihat’ siapa peneraju kerajaan dalam waktu terdekat – jika PRU benar-benar diinginkan kumpulan dari PN.

Dan PRN Johor barangkali menjadi medan penting kepada pelabur – untuk menjadikan Johor yang lebih baik. Jika kekal tipis satu kerusi begini, pelabur akan terus tarik brek tangan untuk menanam modal dan pelaburan.

Ingat orang-orang politik! Jangan ‘kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa’.

  • Zulkifli Jalil adalah Timbalan Pengarang Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia