Jangan jadi Si Tanggang Moden

Jangan jadi Si Tanggang Moden

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Bagi mereka yang berstatus ‘otai’, pasti masih ingat kisah Si Tanggang, Malim Kundang atau Nakhoda Manis. Namun kisah yang lebih popular adalah Si Tanggang, sebuah cerita dongeng masyarakat Melayu yang mengisahkan kehidupan seorang pemuda bernama Si Tanggang yang dahulunya hidup susah bersama ibunya yang miskin.’

Namun setelah dia menjadi kaya dan hidup senang, dia mula melupakan jasa, pengorbanan malah menderhakai ibunya, yang mana akhirnya Si Tanggang bertukar menjadi batu kerana disumpah oleh si ibu de­ngan makbul Tuhan.

Mengadaptasi kisah Si Tanggang, sebuah filem hindi bertajuk Baghban dengan garapan genre Si Tanggang moden, mengisahkan pengorbanan pasangan ibu bapa dalam membesarkan anak-anak mereka sehingga berjaya, akhirnya jasa-jasa mereka dilupakan. Malah lebih pedih anak-anaknya tidak mahu menanggung beban menjaga mereka berdua.

Sebenarnya cerita di atas sengaja difilemkan untuk memberitahu kepada penonton dan masyarakat bahawa wujud dan masih wujud sehingga sekarang orang-orang yang tidak mengenang budi jasa orang yang telah berbakti kepada mereka seperti jasa ibu bapa kepada anak, jasa majikan kepada pekerja, jasa kawan atau jiran tetangga.

Kita hidup secara bermasyarakat harus menanam amalan berbudi bahasa dan mengenang jasa dalam diri kerana ia adalah nilai murni yang sangat penting dalam kehidupan di dunia ini. Namun, terdapat segelintir individu yang tidak mengenang budi atau jasa orang lain.

Golongan seperti ini tidak ubah seumpama ‘kacang lupakan kulit’. Bukan setakat tidak mengenang budi, malah cuba pula menjatuhkan orang yang menolong­nya dengan memberi peluang kerja selama ini. Sudah lupa langsung jasa dan pertolongan yang pernah dite­rimanya.

Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan seseorang menjadi tidak mengenang budi. Antaranya ialah sifat ego yang tinggi, terlalu mengejar kepentingan diri serta kurang didikan mengenai nilai kesyukuran. Ada juga yang merasakan kejayaan yang dicapai adalah hasil usaha sendiri semata-mata sehingga menafikan sumbangan orang lain. Sikap ini menyebabkan mereka gagal menghargai pengorbanan dan bantuan yang pernah diterima.

Kesan daripada sikap tidak mengenang budi amat besar. Individu yang bersikap demikian akan kehila­ngan kepercayaan dan penghormatan daripada orang sekeliling. Masyarakat lazimnya memandang serong terhadap orang yang melupakan jasa orang lain.

Selain itu, mereka mungkin menghadapi kesukaran mendapatkan bantuan pada masa hadapan kerana orang ramai tidak lagi yakin terhadap keikhlasan mereka.

Sebaliknya, orang yang mengenang budi sentiasa dihormati dan disayangi. Mereka tidak lupa kepada individu yang pernah membantu ketika susah dan sentiasa berusaha membalas kebaikan tersebut mengikut kemampuan. Sikap ini dapat mengeratkan hubungan sesama manusia serta mewujudkan masyarakat yang harmoni dan saling membantu.

Jadi, renung-renungkanlah. Jadikanlah diri kita orang yang sentiasa menghargai jasa dan pengorbanan orang lain, bukan jadi Si Tanggang Moden yang tidak mengenang budi ibu bapa, apatah lagi budi orang lain.

Imran Mohamad Nor, Pengarang Berita Utusan Malaysia