KETIKA artikel ini ditulis belum ada tanda konflik di sempadan Kemboja dan Thailand akan berakhir meskipun kedua-dua pemimpin negara berkenaan menyatakan kesediaan kembali ke meja rundingan. Sebelum ini, Perdana Menteri Thailand dilaporkan menolak sebarang usaha rundingan untuk menamatkan pergolakan di wilayah berkenaan.
Kementerian Luar Thailand juga mengingatkan tarif timbal balas (RTA) tidak dijadikan sebagai ‘senjata’ untuk menekan negara berkenaan kembali ke meja rundingan. Dua negara berjiran itu saling tuduh-menuduh punca perbalahan.
Menurut laporan media tempatan, ketegangan setakat ini telah mengorbankan sekurang-kurangnya 13 jiwa, selain memaksa ratusan ribu penduduk meninggalkan wilayah berkenaan, menyeberangi sempadan negara masing-masing untuk mencari perlindungan dan menyelamatkan diri.
Meskipun telah memperakui Perjanjian Damai Kuala Lumpur pada Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 di Kuala Lumpur Oktober lalu, ternyata Thailand mahupun Kemboja lebih mengutamakan apa yang mereka dakwa sebagai kepentingan masing-masing. Bagi menjaga kepentingan tersebut, maka pertempuran kembali tercetus dan segala komitmen, ketika memeterai pelan damai itu diketepikan. Kesannya ratusan ribu rakyat mereka kini jadi ‘pelarian’ di negara sendiri, selain banyak harta benda musnah.
Menyedari buruknya persengketaan yang tercetus, Malaysia selaku Pengerusi ASEAN (sehingga akhir tahun ini), tetap berusaha untuk mengembalikan keamanan di wilayah berkenaan. Bukan mencampuri, sebaliknya atas dasar ASEAN. Ia juga tidak lebih demi kemaslahatan rakyat dua negara berjiran itu dengan sebuahnya adalah jiran terdekat Malaysia.
Meskipun usaha Malaysia diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dipertikai pihak tertentu di Thailand, hakikatnya, niat murni Malaysia hanya satu, untuk memastikan ASEAN secara kolektif termasuk Kembaja, Thailand kekal aman, makmur. Keamanan dan kemakmuran itu akan memastikan ASEAN kekal sebagai rantau dan blok ekonomi antara pesat membangun di dunia dengan unjuran pertumbuhan 4.7 peratus pada tahun ini.
Reputasi ASEAN sebagai blok ekonomi dan rantau yang pesat membangun dengan rekod cemerlang dalam pelbagai aspek, turut mendorong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) agar ASEAN terus memainkan peranan sebagai rakan strategiknya khususnya dalam bidang seperti keselamatan, kemanusiaan dan perubahan iklim.
Pencapaian cemerlang ASEAN inilah yang menjadikan negara-negara rantau ini termasuk Kemboja dan Thailand terus menarik minat pelabur asing untuk menanam modal, menjadi tarikan pelancong, yang limpahannya dinikmati oleh rakyat negara tersebut dan komuniti ASEAN secara keseluruhan.
Namun, semua itu boleh hilang secara beransur-ansur sekiranya ada dalam kalangan negara anggota tidak lagi mempunyai semangat toleransi, hormat-menghormati, semangat ASEAN yang dijunjung selama ini.
Pertikaian disulami dengan sikap pentingkan diri dan ego yang tinggi boleh menjerumuskan negara berkenaan ke dalam konflik berpanjangan dan lebih besar, dikhuatiri secara tidak langsung boleh mengheret sama negara rakan lain.
Untuk itu, eloklah Kemboja dan Thailand kembali ke meja rundingan, menghayati semula falsafah dan aspirasi di sebalik kewujudan ASEAN iaitu Satu Visi, Satu Identiti, Satu Komuniti. Yang menekankan perpaduan, kerjasama dan integrasi serantau serta saling menghormati.
Yulpisman Asli ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia – UTUSAN
Jangan heret ASEAN ke dalam konflik lebih serius

Media Mulia TV
Copyright © 2025 Media Mulia Sdn Bhd 201801030285 (1292311-H). All Rights Reserved