Jangan bantutkan momentum pertumbuhan ekonomi - Utusan Malaysia

Jangan bantutkan momentum pertumbuhan ekonomi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENGUMUMAN pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 8.9 peratus oleh Bank Negara Malaysia (BNM) kelmarin memberi sedikit kelegaan kepada kita selepas beberapa bulan lalu diasak dengan pelbagai isu ekonomi yang menghimpit.

Apa yang tidak dirasai oleh rakyat pasca pandemik Co­vid-19? Harga barang keperluan naik, minyak masak habis di pasaran, harga ayam mahal, graduan tidak dapat kerja, jumlah penganggur sekitar 700,000 dan lain-lain lagi.

Ia ditambah pula dengan kenaikan kadar semalaman (OPR) oleh BNM yang menyaksikan peningkatan dalam ansuran bulanan pinjaman terutama perumahan. Walaupun kecil, tetapi cukup memberi kesan kepada B40 dan M40. Bagi golongan ini setiap ringgit itu cukup bermakna.

Oleh itu diharapkan pertumbuhan KDNK pada suku kedua itu akan menjadi cahaya kepada persekitaran ekonomi rakyat yang lebih baik hingga ke akhir tahun dan tahun berikutnya.
KDNK adalah ukuran kepada sihat atau tidak sihat ekonomi negara kita. Ia mencerminkan keaktifan sektor ekonomi yang akan memberi kesan secara langsung kepada kehidupan rakyat.

Cuma kita harapkan kerajaan tidak terlalu khayal dengan pertumbuhan 8.9 peratus ini kerana ia antara lain turut disumbangkan oleh pengeluaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) April lalu dan pelbagai insentif dan bantuan lain.

Walaupun KDNK suku kedua ini jauh lebih baik dari Amerika Syarikat (1.6 peratus), Singapura (4.4 peratus), China (0.4 peratus), Kesatuan Eropah (4.0 peratus) Korea Selatan (2.9 peratus), Singapura (4.4 peratus), Indonesia (5.4 peratus) dan Filipina (7.4 peratus), tetapi ia bukan jaminan akan berterusan.

Pakar ekonomi meramalkan KDNK akan turun semula kepada 5.0 hingga 6.0 peratus pada suku ketiga manakala bagi suku keempat antara 2.0 hingga 3.0 peratus.

Yang paling penting kerajaan perlu menggunakan momentum positif ini untuk terus membaiki sektor-sektor yang masih ketinggalan. Sedangkan sebelum ini ia menjadi pe­nyumbang utama kepada pertumbuhan KDNK negara.

Sektor perladangan masih dihantui dengan isu tidak cukup pekerja hingga buah kelapa sawit reput di tandan. Sektor itu memerlukan sekitar 17,000 pekerja asing, tetapi setakat ini baru 6,000 yang dibawa masuk.

Isu yang membabitkan lebih 300,000 lepasan Sijil Pelajaran Malaysia yang menganggur juga perlu diatasi. Jika dibiarkan berterusan ia akan memberi kesan kepada masa depan mereka dan ekonomi negara.

Pada masa sama jangan lupa juga kepada graduan yang belum dapat kerja dan mereka yang dibuang kepada pandemik Covid-19 yang hingga kini belum ada kerja tetap.

Untuk memastikan pertumbuhan ekonomi 8.9 peratus ini terus menjadi momentum memulihkan ekonomi negara, kerajaan perlu terus pragmatik dalam menyusun strategi ekonomi negara.

Ini termasuk memastikan apa yang dirancang dilaksanakan dan sampai kepada rakyat. Jangan sekadar janji di bibir sahaja.

Belanjawan 2023 yang bakal dibentang perlu dipastikan mampu untuk mengeluarkan kita daripada apa juga kemelut ekonomi yang menghimpit hidup rakyat.

 

Aznan Bakar ialah Pengarang Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia