Jalan rosak bukan isu penting? - Utusan Malaysia

Jalan rosak bukan isu penting?

BARU-BARU ini, ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau mendakwa beliau terpaksa menukar tayar keretanya setiap bulan berikutan keadaan jalan raya di Sabah yang teruk.

Katanya, siapa yang hendak jadi angkasawan, boleh datang ke Sabah untuk berlatih. Pandu kereta sendiri dan rasai bagaimana seperti berjalan di permukaan bulan yang berkawah. Begitulah sindiran beliau.

Beliau berkata, isu itu sudah disuarakannya di Parlimen, bertemu dengan menteri yang berkenaan dan menghantar surat aduan rasmi tetapi masalah itu tidak juga selesai.

Walaupun ada yang menganggap sindiran YB itu sebagai keterlaluan, namun dakwaan beliau itu tentu ada asasnya kerana beliau adalah wakil rakyat di situ. Bukan sahaja Wilfred, saya percaya hampir semua rakyat Malaysia ada pengalaman berdepan dengan keadaan jalan raya yang rosak teruk.

Bayangkan, kalau seorang Yang Berhormat, yang ada akses terus untuk berjumpa dengan menteri dan boleh menyuarakan masalah itu di Parlimen pun tidak selesai masalahnya, janganlah kita sebagai rakyat biasa mengharapkan aduan kita didengar dan diatasi dengan segera. Sabar adalah kata kuncinya selepas membuat aduan.

Sebab itu pernah viral satu video yang dibuat oleh seorang rakyat Malaysia yang memandu kereta dari Thailand ke negara ini. Dia membuat video perbandingan keadaan jalan di Thailand yang didakwanya sebagai licin tanpa lubang berbanding jalan di Malaysia.

Pengasas Ikatan Silaturahim Brotherhood, Azlan Sani Zawawi atau lebih dikenali sebagai Lando pula memilih untuk menurap sendiri jalan-jalan berlubang yang ditemuinya di sekitar ibu negara berbanding membuat aduan kerana tidak sanggup menunggu.

Isu jalan rosak bukan isu baharu tetapi tidak pernah selesai. Peruntukan yang tidak cukup setiap tahun yang mengakibatkan banyak kerja penyelenggaraan tertangguh. Mungkin kerajaan melihat kerja menyelenggara jalan ini sebagai boleh dikemudiankan dan peruntukannya disalur untuk perkara lain yang dianggap lebih penting.

Akibatnya, bukan sahaja jumlah jalan yang perlu diselenggara semakin banyak, malah kerosakan yang berlaku pula semakin teruk dan sukar dibaiki. Pada ketika itu, peruntukan lebih besar diperlukan kerana ada kemungkinan keseluruhan jalan itu perlu diperbaiki atau diganti baru.

Menurut Datuk Seri Fadillah Yusof semasa beliau di Kementerian Kerja Raya, pihaknya memerlukan RM3.4 bilion untuk memulihkan semua jalan persekutuan yang rosak di Semenanjung Malaysia termasuk jalan-jalan yang sudah luput tempoh guna.

Sepatutnya, setiap jalan perlu dibina atau diturap semula setiap enam atau tujuh tahun. Namun, apabila itu tidak lakukan, maka masalah itu menjadi terkumpul dan akhirnya memerlukan peruntukan yang besar untuk membaikinya. Itulah yang berlaku sekarang ini.

Justeru, kerajaan tidak boleh melihat kerja selenggara jalan ini sebagai tidak penting. Isu jalan rosak ini adalah isu yang dekat di hati rakyat. Jangan ambil mudah.
Selain itu, perlu juga dilihat kemungkinan berlaku ketirisan dalam pengagihan peruntukan dan juga isu subkontraktor yang berlapis-lapis sehingga akhirnya kualiti terpaksa digadai demi meraih sedikit keuntungan.

 

Ismail Daud ialah Pengarang Berita Kanan Utusan Malaysia

RSS Error: A feed could not be found at `https://www.relevan.com.my/feed`; the status code is `404` and content-type is `text/html; charset=iso-8859-1`