Jakim perlu fikir luar kotak - Utusan Malaysia

Jakim perlu fikir luar kotak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Isu rumah sembelihan di Australia yang melanggar protokol halal sekali lagi timbul dan yang terbaharu membabitkan entiti lain pula.

Sudah tentu perkara itu menimbulkan kebimbangan dalam kalangan umat Islam di negara ini kerana ia melibatkan makanan halal yang menjadi tuntutan agama.

Selama ini ramai yang percaya daging sama ada kambing atau lembu dari Australia semuanya halal kerana kononnya disembelih mengikut protokol dan mendapat pengiktirafan daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Namun apabila akhbar ini melaporkan, tiga lagi rumah sembelihan di Queensland dikesan melanggar protokol halal sembelihan Supreme Islamic Council of Halal Meat in Australia Inc. (SICHMA) sudah pasti menimbulkan kecurigaan.

Penemuan itu disahkan oleh seorang wakil organisasi halal antarabangsa di Filipina yang mahu dikenali sebagai Amin semasa membuat pemeriksaan mengejut di ketiga-tiga rumah sembelihan tersebut.

Sebelum ini membabitkan sebuah rumah sembelihan, TFI Lobethal sehingga kerajaan menggantung sementara pengimportan daging dari rumah tersebut sementara menunggu siasatan selesai.

Isu pelanggaran protokol di empat rumah sembelihan itu semuanya ditimbulkan oleh bekas pekerja di premis berkenaan. Tanpa mereka, bermakna penduduk Islam di negara ini terus menikmat daging dari Australia tanpa diketahui halal haramnya.

Walaupun Jakim ada wakil yang dilantik bagi tujuan pemeriksaan halal di pejabat kedutaan negara di Australia, nampaknya mereka juga terlepas pandang isu berkenaan.

Betul, wakil Jakim tidak boleh masuk begitu sahaja ke rumah sembelihan berkenaan. Tetapi jika pemeriksaan atau audit dibuat dengan membuat temujanji dahulu bermakna segala yang baik akan ditunjukkan oleh pengendali rumah sembelihan ber­kenaan.

Tidakkah ada cara lain untuk wakil Jakim mendapatkan maklumat apa yang berlaku di dalam rumah berkenaan? Apakah mereka menerima begitu sahaja maklumat yang disampaikan oleh rumah sembelihan bukan Islam itu?

Kalau Amin, rakyat Filipina boleh membuat pemeriksaan mengejut, kenapa wakil Jakim tidak boleh berbuat demikian? Sudah pasti ada cara ter­tentu untuk Jakim melakukan tugas-tugas risikan itu.

Dalam keadaan tiada kepastian tentang halal itu, adalah benarnya juga desakan Presiden Pertubuhan Kemasyarakatan Rakyat (Pekemas), Faizan Mohd. Nor agar kerajaan menggantung sementara import daripada semua rumah sembelihan haiwan di Australia sehinggalah siasatan berkenaan diselesaikan.

 

Nizam Abdul Hamid ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya