tugas mencabar

Jadi menteri bukan tangkap muat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

zul jalil mindaHARI ini kalau ditanyakan pada anak-anak muda nama menteri dan portfolionya, pasti sukar diingati mereka. Tapi kalau diajukan siapa nama pelakon Korea atau artis k-pop sampai bergulung lidah hendak disebut pun, mudah sangat diungkapkan.

Ada 31 menteri dalam Kabinet Malaysia hari ini, belum lagi dicampur 38 timbalan menteri. Ramai, biarpun dikatakan dengan keluasan Malaysia 329,847 km persegi, 26 hingga 28 menteri sudah memadai.

Hari ini, tugas seorang menteri cabarannya cukup getir dengan isu-isu berkepentingan rakyat yang tidak menang tangan untuk dijenguk dan diselesaikan. Kementerian utama antaranya kewangan, pengguna, pertanian, luar bandar dan ekonomi antarabangsa menuntut komitmen bukan sedikit.

Mahu dipilih jadi menteri bukan sekadar main tangkap muat sahaja. Pernah amalan melantik bukan ahli politik sebagai menteri, lebih merupakan suatu pengecualian daripada kelaziman.

Antaranya Tan Sri Musa Mohamed, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, Tan Sri Amirsham dan Datuk Seri Idris Jala. Walau apa alasan pelantikan, isu layak menjadi menteri Kabinet sebahagian besarnya bergantung ke atas Perdana Menteri jika beliau kagum dengan kebolehan seseorang itu untuk menjadi menteri beliau.

Perilaku seorang menteri dan tabiat umum memainkan peranan penting dalam menentukan untung nasib seorang menteri. Masa silam beliau, perilaku terkini termasuk rekod peribadi serta kelakuan yang menyangsikan. Ia apatah lagi perbuatan yang tidak bermaruah atau jenayah yang boleh melibatkan tuduhan amalan rasuah, kesahihan bankrupsi atau perkara-perkara yang dianggap kritikal terhadap kepimpinan – semua ini memainkan peranan dalam menentukan nasib atau nasib malang seorang menteri yang berkhidmat atau bakal menjadi menteri.

Dan sudah tentu berkhidmat kepada negara merupakan satu kepastian yang akan sentiasa wujud. Adalah satu kebodohan jika seorang ahli politik terlepas pandang perkara ini, tetapi seorang menteri yang berkhidmat kepada orang yang lebih berkuasa mesti tahu dari mana datangnya rezeki mereka. Orang awam akan tahu pemimpin mana kaki ampu atau bodek dan yang mana benar-benar berfikir.

Ia juga bermakna seorang ahli politik tidak boleh kelihatan terlalu pandai sehingga ketua mereka yang beliau berkhidmat dilihat kurang bijak. Mesti ada sedikit sifat Machiavelli di sini, tetapi orang yang tidak mempunyai persepsi klasik Itali ini tidak akan bertahan lama dalam politik. Tidak ada pemimpin yang suka terhutang budi kepada ketua-ketua yang lebih rendah.

Dan jangan dilupai terdapat banyak personaliti masa lalu mempunyai peluang, keupayaan dan bijak untuk menjadi pemimpin muktamad. Tetapi disebabkan nasib tidak menyebelahi, mereka terpaksa berhenti pada satu tahap dalam kerjaya politik dan akhirnya tergolong dalam kumpulan biasa.

Kabinet adalah jawatankuasa paling utama dalam operasi seorang Perdana Menteri. Tentu sekali beliau banyak bergantung kepada keupayaan Kabinetnya, yang sewajarnya dianggotai menteri-menteri yang memiliki kemahiran komunikasi yang berkesan.

Tanpa memiliki kualiti yang diperlukan untuk memimpin, kerjaya dalam arena politik ini tidak akan bertahan lama – walaupun anda disukai Perdana Menteri.

Semakin mencabar tugas anda, semakin peka rak­yat men­jadi pemerhati, pendengar dan penilai yang tegar. – UTUSAN

  • Zulkifli Jalil adalah Timbalan Pengarang Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya