Isyarat rule of law Malaysia terus teguh - Utusan Malaysia

Isyarat rule of law Malaysia terus teguh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEPUTUSAN mahkamah terhadap kes seleweng RM42 juta dana SRC International Sdn. Bhd. (SRC) dihadapi bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam harus dihormati oleh seluruh rakyat negara ini.

Berpeganglah kepada semangat maju negara yang terlaksana dari kewibawaan undang-undang.

Di saat kita menghadapi penangan Covid-19 serta dihimpit kekangan ekonomi, keputusan mahkamah itu perlu dijadikan satu signal atau isyarat kepada seluruh dunia bahawa Malaysia terus teguh rule of law atau kejituan undang-undangnya.

Tahniah kepada mahkamah atas kerja-kerja cemerlang yang dilaksanakan termasuk kepada barisan pendakwa dan pihak yang mempertahankan kes Najib.

Kita percaya Najib akan membuat rayuan. Itu hak beliau. Namun ketabahan beliau mengharungi liku-liku kehidupan merupakan suatu gambaran hebat, dengan personaliti cukup kental dalam bebanan peribadi dan kepartian yang dipikul.

Apa kesannya kepada UMNO kerana Najib juga adalah ahli parlimen parti itu dan pengerusi lembaga penasihat Barisan Nasional (BN)?

Mengikut konvensyen atau laras undang-undang, apabila seseorang telah didapati bersalah dan jatuh hukum – tanpa tertakluk kepada rayuan yang akan dibuat – UMNO dan BN perlu mengiktiraf dan menghormati keputusan mahkamah. Dan mungkin boleh membuat adjustment. Contohnya, Najib tidak harus lagi memegang sebarang jawatan parti atau mana-mana kedudukan penting.

Bagaimanapun, akan ada pihak yang berhujah, selagi rayuannya belum selesai, sebarang keputusan muktamad oleh parti tidak boleh diambil. Dalam soal ini, UMNO harus utamakan pencucian imej.

Dengan itu, kecenderungan kita dalam menghormati rule of law akan terpakai untuk semua pemegang jawatan dalam parti-parti politik. Untuk Najib kembali dalam UMNO selepas ini, itu cerita kemudian selepas proses rayuan.

Hal ini perlu diiktiraf. Jika tidak, UMNO/BN akan bergelumang dengan isu imej yang tidak berkesudahan.

Sebagai rakyat, kita menghargai pendukung rule of law dalam sistem kehakiman negara. Cuma berasa sedih bila mana seorang bekas Perdana Menteri yang pertama dalam sejarah Malaysia terjerumus dalam ‘jurang’ ini.

Zulkifli Jalil ialah Timbalan Pengarang Utusan Malaysia

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.