Isu PATI: Jangan tutup mata, tulikan telinga

Isu PATI: Jangan tutup mata, tulikan telinga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Isu pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ‘bermaharajalela’ dan hidup mewah di Malaysia, bukan perkara baru. Laporan muka depan Utusan Malaysia, semalam tentang kawasan penempatan haram PATI di Pulau Meranti, Puchong adalah antara beberapa pendedahan yang dilakukan oleh akhbar ini berhubung isu tersebut.

Siasatan mendapati, sejak penghujung Ramadan sehingga hari raya keempat, masa paling ramai warga asing didakwa masuk ke Pulau Meranti dengan memilih sekitar kawasan pencawang elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk membina tempat berteduh.

Malah ada dakwaan, kebanjiran PATI di Pulau Meranti naik mendadak selepas 14 Februari lalu ekoran serbuan pihak berkuasa di Cyberjaya. Ini menyebabkan kumpulan tersebut mencari penempatan baharu di perkampungan itu.

Seorang warga Nepal di perkampungan haram itu memberitahu, semasa Hari Raya Aidilfitri pertama, dia melihat kira-kira 20 pendatang asing Indonesia, Bangladesh dan Myanmar menceroboh dan memenuhi kawasan rumah-rumah haram di situ.

Tinjauan di kebun-kebun dan perkampungan haram itu mendapati ada sebuah reban kambing dibina bersebelahan ladang sayur peria, yang didakwa diusahakan warga Bangladesh bernama Jamal.

Menurut penduduk kampung, Jamal adalah saudagar sayur berjaya di kawasan tersebut dan lelaki itu juga sedang membangunkan sebuah reban ayam.

“Jamal dan PATI yang masuk ke sini menceroboh tanah TNB dan tanah kerajaan Selangor di sekitar Pulau Meranti sehingga semakin ramai warga asing pelbagai negara dibawa berkampung di sini” katanya.

‘Kegagalan’ pihak berkuasa termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT) menghidu pencerobohan PATI ini sehingga wujud koloni haram baharu ini menimbulkan tanda tanya. Adakah benar tidak dihidu atau sudah dihidu tetapi sengaja ‘dibutakan mata ditulikkan telinga’.

Bukan rahsia, kalau orang tempatan buka payung berniaga pisang goreng atau sebagainya di tepi-tepi jalan, cepat saja PBT bertindak. Sehingga ke tahap peralatan niaga disita dan dikompaun kerana berniaga tanpa lesen.

Tapi, dalam kes PATI ni, nampak tidak tegas pula tindakan. Kalau dah lebih sebulan PATI beroperasi tanam sayur dan menternak kambing selain bebas keluar-masuk kampung, rasanya ada sesuatu yang tidak betul di situ.

Bukan kita cemburu PATI kaya dan mewah atas hasil kerja kuat tetapi kita persoalkan tahap penguatkuasaan pintu masuk negara yang dilihat mudah diceroboh oleh mereka. Jika dibiarkan berlarutan, lama kelamaan penduduk tempatan yang akan merempat di negara sendiri.

Mengikut Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63, individu atau organisasi yang melindungi lebih daripada lima pendatang tanpa izin, boleh dihukum penjara sehingga lima tahun dan sebatan tidak melebihi enam kali.

Majikan yang menggaji PATI boleh disabitkan dengan kesalahan di bawah Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga 12 bulan atau kedua-duanya sekali, bagi setiap orang pekerja yang diambil.

Undang-undang perlu dikuatkuasakan. Kita tidak mahu ‘undang-undang dibuat untuk dilanggar’. – UTUSAN

  • Mohd. Radzi Mohd. Zin ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia.