Isu panas perkauman modal tarik sokongan - Utusan Malaysia

Isu panas perkauman modal tarik sokongan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Isu panas dan sensasi sentiasa menjadi buruan pengamal media untuk dipaparkan kepada pembaca.
Ini kerana bagi pengamal media, itulah yang disukai oleh orang ramai untuk dibaca dan akan menarik perhatian mata pembaca. Malah boleh dikatakan hampir kesemua media tanpa mengira bahasa akan memainkan isu yang sama.

Malah orang ramai juga sebenarnya suka membaca dengan isu-isu yang panas itu terutama yang melibatkan personaliti tertentu. Sama ada orang politik, artis, pendakwah dan juga pegawai kanan kerajaan yang terlibat dengan sesuatu isu, itulah yang dicari oleh pembaca.

Kes tipu, kenyataan-kenyataan politik bersifat provokasi termasuk menyentuh isu perkauman, rumah tangga berantakan dan cadangan yang disifatkan sebagai mengarut daripada individu terlibat antara isu panas yang menjadi bualan ramai.

Tipulah orang ramai tidak tertarik untuk membaca berita-berita sebegitu walaupun pada akhirnya segelintir daripada mereka berlagak suci dan memperlekeh­kan berita seperti itu.

Tetapi itulah hakikatnya di negara ini. Misalnya isu perkauman walaupun semua tahu bahaya jika terus diapi-apikan dan boleh mengundang perbalahan, ia terus dimainkan oleh pemimpin politik.

Malaysia sebenarnya unik apabila rakyatnya terdiri daripada pelbagai kaum dan agama yang boleh hidup harmoni Isu di bawah satu Perlembagaan yang turut diperkukuhkan lagi dengan kontrak sosial apabila negara ini mencapai kemerdekaan pada 1957.

Walaupun perpaduan, keharmonian dan rakyat hidup aman damai itu dapat dilihat tetapi kadangkala perbalahan politik antara pemimpin beberapa parti, turut menimbulkan kebimbangan.

Mungkin ada betulnya pandangan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli bahawa parti Melayu kalau mahu mendapat sokongan mesti memainkan isu kaum dan menggambarkan parti tertentu sebagai musuh utama mereka.
Itulah yang terjadi kepada Pas dan Bersatu kini apabila berseteru dengan DAP yang disifatkan sebagai parti chauvinis Cina.

Isu perkauman yang dimainkan boleh dikatakan membantu parti-parti terlibat untuk mendapat sokongan daripada kaum masing-masing.
Sebab itulah pemimpin Pas dan Bersatu kini mendakwa sebahagian orang Melayu cenderung menyokong mereka. Bagi kaum Cina pula, Pas perlu ditentang kerana bersikap ekstrem. Jika DAP dituduh komunis, Pas pula dikaitkan dengan Taliban.

Ironinya pemimpin Pas, Bersatu dan DAP pernah berada berada di atas pentas yang sama dan berpelukan ketika bergerak berkempen bersama menentang Barisan Nasional (BN).
Namun politik sangat dinamik sifatnya kerana BN dan DAP juga dulu bergaduh lama tetapi kini menjadi kawan.

 

Nizam Abdul Hamid ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia