KITA terlalu gemar bercakap mengenai penguatkuasaan apabila berdepan jenayah, rasuah dan penyelewengan. Operasi diperhebat, tangkapan diumumkan, hukuman diperketat dan pelbagai prosedur baharu diperkenalkan.
Namun, bagaimana jika masalah sebenarnya bermula daripada manusia yang mengendalikan sistem itu sendiri? Di sinilah integriti menjadi persoalan utama.
Rasuah, salah guna kuasa, penipuan, penyeludupan dan pelbagai bentuk jenayah tidak akan berkembang tanpa manusia yang sanggup membuka pintu kepadanya. Sistem mungkin mempunyai seribu peraturan tetapi jika orang yang diberi amanah memilih untuk mengkhianatinya, peraturan hanya tinggal tulisan di atas kertas.
Kes juruterbang Malaysia yang ditahan di Indonesia kerana didakwa cuba menyeludup dadah menjadi contoh yang amat serius. Bagaimana seseorang yang diberikan tanggungjawab besar dalam industri penerbangan boleh pula didakwa terlibat dalam kegiatan penyeludupan dadah?
Jika dakwaan itu terbukti di mahkamah, persoalannya bukan lagi sekadar mengenai jenayah dadah tetapi sejauh mana nilai integriti telah runtuh dalam diri individu berkenaan.
Lebih membimbangkan apabila jenayah dilakukan oleh mereka yang mempunyai akses, kedudukan atau kepercayaan tertentu. Dalam keadaan seperti itu, pelaku bukan sahaja melanggar undang-undang, malah menyalahgunakan kepercayaan yang diberikan masyarakat.
Kita perlu bertanya, bagaimana dia boleh sampai ke tahap berani melakukannya?
Persoalan itu penting kerana jenayah moden semakin tidak mengenal profesion. Penjenayah tidak semestinya datang daripada kelompok yang hidup di lorong gelap. Mereka boleh berada di pejabat, syarikat, institusi, sempadan, lapangan terbang, malah dalam organisasi yang selama ini dianggap mempunyai tahap profesionalisme tinggi.
Inilah cabaran sebenar kepada negara. Kita boleh memperketatkan kawalan, memasang lebih banyak kamera, menjalankan saringan dan meningkatkan operasi risikan. Semua itu perlu. Namun, jika ada manusia yang sanggup menerima wang untuk membocorkan maklumat, menutup kesalahan atau membantu sindiket, sistem tetap akan bocor.
Begitu juga rasuah. Jangan kita terlalu cepat menyalahkan kelemahan sistem apabila berlaku penyelewengan. Ada ketika sistem memang mempunyai kelemahan tetapi kelemahan itu menjadi pintu masuk kerana ada manusia yang sengaja mengeksploitasinya.
Lebih besar daripada itu adalah persoalan kepimpinan. Sejarah menunjukkan banyak konflik dan peperangan tercetus apabila kuasa, kepentingan ekonomi, wilayah dan pengaruh mengatasi nilai kemanusiaan. Apabila pemimpin kehilangan integriti, keputusan yang sepatutnya melindungi manusia boleh bertukar menjadi keputusan yang mengorbankan manusia.
Maka, membina negara bersih bukan sekadar membina sistem yang canggih. Kita perlu membina manusia yang tidak mudah dibeli.
Jika integriti kukuh, rasuah akan sukar bermula. Jika amanah dihormati, penyelewengan boleh dihentikan. Jika tanggungjawab diutamakan, kuasa tidak mudah disalahgunakan.
Kita mungkin tidak mampu menghapuskan jenayah sepenuhnya tetapi kita boleh mengurangkan ruangnya dengan memastikan mereka yang memegang amanah tidak menjadi sebahagian daripada masalah.
Kerana undang-undang menghukum selepas kesalahan berlaku tetapi integriti mencegah kesalahan sebelum ia bermula. – UTUSAN
Hadi Ab. Manap ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia
Integriti noktah segala masalah

Media Mulia TV
Copyright © 2025 Media Mulia Sdn Bhd 201801030285 (1292311-H). All Rights Reserved