Ikut rasa binasa, ikut hati mati

Ikut rasa binasa, ikut hati mati

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Dalam Konvensyen Pakatan Harapan (PH) di Johor Bahru kelmarin, jeritan ‘UMNO Pengkhianat’ kuat dilaungkan oleh peserta walaupun kedua-dua parti itu adalah rakan sekutu dalam Kerajaan Perpaduan.

Keadaan itu berlaku gara-gara Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi beberapa hari sebelum ini menyatakan Barisan Nasional (BN) akan bertanding solo di semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.

Ia mungkin kerana BN terutama UMNO menang besar dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 2022. BN yang ditunjangi UMNO menang 40 daripada 56 kerusi yang dipertandingkan.

UMNO juga membentuk kerajaan negeri tanpa penyertaan daripada PKR atau DAP kerana majoriti lebih dua pertiga yang diperolehnya.

Kenyataan Onn Hafiz itu dilihat seperti menafikan kewujudan PH di Johor dalam konteks Kerajaan Perpaduan, sekali gus juga bermakna, jika PH mahu kerusi di DUN Johor, mereka perlu berentap dengan BN.

Keadaan itu seperti menyimbah minyak ke api ke­rana Kerajaan Perpaduan juga bergolak di Negeri Sembilan apabila 14 ADUN BN menarik sokongan terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun baru-baru ini.

Aminuddin yang juga menghadiri konvensyen kelmarin menyifatkan UMNO telah mengkhianati Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan yang hampir tumbang akibat kehilangan sokongan.

Jika tidak ada perbincangan antara Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamid, Negeri Sembilan mungkin sudah mempunyai Menteri Besar baharu.

Kemelut PKR turut diburukkan lagi dengan dua bekas pemimpinnya yang kalah dalam pemilihan parti sebelum ini iaitu Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad yang kelmarin juga mengumumkan keluar PKR dan mengosongkan kerusi Parlimen masing-masing.

Sudah tentu kemelut yang berlaku menghangatkan Konvensyen PH di Johor Bahru kelmarin dan apa pilihan yang Anwar ada ketika itu? Sudah tentulah reaksi beliau terhadap desakan para perwakilan konvensyen adalah “Kita lawan”.

Alang-alang kemelut politik berlaku di Johor dan Negeri Sembilan serta melibatkan Rafizi dan Nik Nazmi, Anwar melontarkan cadangan agar lebih baik Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) diadakan lebih awal sebagai jalan penyelesaian.

Kata Anwar, beliau akan berjumpa dengan ketua-ketua komponen PH untuk menentukan perkara itu. Beliau juga mahu berjumpa dengan Ahmad Zahid bagi berbincang mengenai kemelut di Johor.

Walaupun PRU16 mungkin jalan terbaik bagi menyelesaikan kemelut politik tetapi kebijaksanaan amat dituntut terutama ketika negara berhadapan ketidaktentuan ekonomi akibat krisis di Asia Barat. Dan akan adakah kerajaan yang lebih kuat dan stabil dapat ditubuhkan selepas PRU16?

Emosi dan amarah politik perlu dielak supaya keputusan yang dibuat benar-benar untuk kepentingan negara.

Penggal kerajaan sedia ada akan berakhir hujung tahun depan dan banyak perkara perlu diberi perhatian ketika krisis global masih berjalan.

Muhammad Nizam Abdul Hamid ialah Pemangku Timbalan Pengarang Utusan Malaysia