Ikhlas bela nasib rakyat

Ikhlas bela nasib rakyat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM satu program syarahan umum disampaikan Datuk Seri Anwar Ibrahim berjudul ‘Hubungan Strategik Malaysia-Indonesia’ di Menara Bank Mega di Jakarta, kelmarin, satu sosok tubuh bernama Chairul Tanjung memulakan pembuka bicara mengagumi keperibadian Anwar.

Bekas menteri dan ahli perniagaan terkenal Indonesia ini mengakui, ada banyak sisi hidup, pengalaman dilalui Anwar yang cukup berharga untuk diceritakan kepada semua.

Malah Bapak Chairul menambah: “Perjalanan hidup beliau (Anwar) sangat konsisten, percaya kepada idealisme yang beliau pegang, akhirnya mampu mendapatkan hasil luar biasa sehingga dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia.”

Pengerusi CT Corp. itu yang memiliki kekayaan sebesar AS$5 bilion (mengikut perkiraan Forbes), seterusnya mengatakan beliau sudah lebih 30 tahun menjadi saksi hidup Anwar, daripada menjadi menteri, kemudiannya Timbalan Perdana Menteri dan dipenjarakan kerana perbezaan ideologi pemerintah.

Begitu antara insan-insan di Indonesia yang mengagumi Anwar, bahkan dalam syarahan umum itu juga, ketika sesi soal jawab, ada pemilik sebuah pesantren (sekolah pondok) di tanah Jawa ini yang mahu Anwar membuka lebih luas peluang anak-anak didiknya diberikan biasiswa melanjutkan pelajaran ke Malaysia, seperti pernah dilakukan Anwar sewaktu menjawat Menteri Pendidikan suatu ketika dahulu.

Syarahan umum Anwar itu banyak menekankan isu membasmi rasuah di semua peringkat, dihadiri ramai menteri Indonesia termasuk Menteri Pertahanan, Prabowo Subianto selain tokoh-tokoh korporat dan agamawan.

Dewan penuh sehingga ada yang terpaksa berdiri, mahu mendengar apa yang mahu dikongsi Anwar. Ditanya Pak Chairul, akan dibawa ke mana Malaysia ini?

Tegas Anwar: “Saya mahu Malaysia yang demokratik dan adil. Saya mahu orang kenal usaha Anwar membersihkan negara daripada rasuah dan penyelewengan dan menunjukkan ada pemimpin Melayu Islam Malaysia, benar-benar ikhlas bela nasib rakyat. Saya akan cuba yang terbaik.”

Di sudut lain, kenyataan demi kenyataan Anwar mengenai Indonesia umpama rumah keduanya, ada ketika beliau seakan-akan sebak menyatakan Indonesia ada nilai sentimental buatnya, mengundang sokongan tetamu yang mendengar syarahannya.

Nama Anwar cukup besar di Indonesia. Malah ada juga tokoh korporat dan tetamu yang melontarkan pertanyaan dalam sesi soal jawab seperti melihat Anwar itu pemimpin mereka.

Ada yang mengemukakan soalan seolah-olah Anwar pe­mimpin dunia yang bisa menyelesaikan banyak masalah, termasuk persoalan sama ada menyatukan mata wang Malaysia dan Indonesia supaya tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada dolar Amerika, serta isu kedaulatan Palestin.

Isu ekonomi dan Palestin memang ‘makanan’ Anwar yang bisa menjawabnya dengan tenang dan baik. Tak kurang isu tenaga kerja Indonesia (TKI) yang bakal diusahakan untuk diperbaikinya yang sedikit sebanyak memberi ruang kelegaan bagi pekerja terlibat memasuki pasaran kerja di Malaysia. – UTUSAN

  • Metra Syahril Mohamed adalah Penolong Pengarang Berita Utusan Malaysia

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya