Hidupkan, praktikkan sistem nilai Melayu lama

Hidupkan, praktikkan sistem nilai Melayu lama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HARI-HARI, bukan setiap minggu atau bulan, kita dihidangkan dengan laporan media tentang kes-kes penyelewengan di sana sini.

Sama ada ikan bilis, kembung, jerung, sama sahaja isunya – tentang adab yang makin jauh dipinggirkan.

Hakikat yang kita perlu tempuh adalah banyaknya sistem nilai Melayu lama sudah tiada lagi. Sementelahan pula sebahagian besar amalan budaya Melayu itu sudah diselaputi dan ditenggelami perubahan amat tebal.

Subjek atau mata pelajaran budi dan budaya seperti muzik, kesusasteraan, bahasa indah, adat dan etika tidak diajar di sekolah sebagai keutamaan. Malah, kerja kolektif membersihkan tandas dan menyapu halaman sekolah tidak lagi diamalkan seperti tahun-tahun 50-an dan 60-an. Kononnya bercanggah dengan hak asasi manusia seseorang murid tidak boleh dikerah tenaga mereka.

Selepas berdekad-dekad, tandas kotor. Budaya bencikan sampah dan `sampah’ pada perenggan pertama tadi, tidak lagi ditekankan. Sifat perangai langgar bahasa, kasar, tidak acuh terhadap disiplin dan faktor-faktor sampingan menampilkan gambaran seolah-olah dunia hanya pentingkan `sains dan matematik’ belaka.

Beratus ribu yang pulang ke tanah air semenjak merdeka 1957 setelah `dididik’ hidup mereka di UK, Eropah, Amerika Syarikat dan Australia meneruskan karier dan cara hidup berasaskan ilmu yang mereka timba.

Cara berfikir, cara bertindak dan berinteraksi sebanyak sedikit memberi kredibiliti kepada budaya ilmu kebaratan. Sama juga dengan mereka yang beribu-ribu pulang dari Mesir, Darul Ulum, Jordan dan lain-lain pusat pengajian Islam.

Mereka membawa balik ilmu wahyu, usuluddin, fiqh dan syariat Islam amnya yang mereka pelajari. Sebahagian mereka dipenuhi budaya pengajian yang dilalui di Timur Tengah. Dan kedua-dua ini bercampur baur pula dengan para ilmuan tempatan.

Maka jadilah Semenanjung ini sebuah `kawah’ konfik budaya dan politik antara asuhan duniawi Islam di Timur Tengah, ilmu dunia Inggeris di dunia Barat serta didikan Melayu tempatan. Ya, bagaimana dunia pelajaran berupaya memesong sikap dan amalan hidup sebahagian besar rakyat yang menerima pengajaran dan pengajian jurusan masing-masing.

Memikir sejenak haluan anak muda hari ini, ada ketika kita merasakan kehilangan. Ini bila mana orang-orang lama, berpengalaman serta berpengaruh dengan diri mereka sendiri umpama “khutub khanah dan bahan sejarah” telah kembali ke rahmatullah.

Orang-orang penting seperti negarawan, profesor yang disanjungi, guru serta ahli korporat yang berjasa besar kepada anak bangsa dan tanah air ini ramai yang berpulang ke hadrat-Nya. Pemergian mereka umpama membawa pergi ilmu, budi dan budaya Melayu itu.

Melayu dahulu Melayu pencinta alam kerana alam dijadikan mereka sebagai guru. Mereka hormat akan padi, langit, gunung, sungai dan tumbuh-tumbuhan, lautan dan alam sekitar. Guru yang mengajar alam sebagai guru itu sudah tiada lagi. Pakar yang memandang secara batin juga sudah ditelan zaman.

Pusaka kita, dalam satu pengertian, sudah dimamah bangsa sendiri. Bukan oleh pihak lain. Suasa di tangan orang diigaukan sedangkan emas permata di lembahan sendiri tidak dipedulikan.

Dunia tanpa tali, dunia hiburan yang canggih kesemuanya telah menukar isian atau kekosongan budaya kita. Mereka ada Little India sendiri dan pekan China Town sendiri di seluruh pelosok dunia, akhbar tulisan sendiri serta amalan-amalan kemasyarakatan sendiri yang masih kental dalam amalan.

Dapatkah kita tunjukkan bahawa cara hidup kita hari ini (yakni hidup berpekerti dan berbudaya) berupaya dikompas atau ditentukan hala tujunya oleh corak kehidupan kita setakat ini?

Soalan inilah yang amat penting dijawab dengan berani oleh orang Melayu khasnya dan Bumiputera amnya.

Dan tentu sekali orang muda wajar sekali ‘menggali’ memoir sejarah, pengalaman, nilai dan pengaruh mereka yang telah pergi – untuk dijadikan panduan dan iktibar menempuh kehidupan bukan alang kepalang cabarannya hari ini. –UTUSAN

* Zulkifli Jalil adalah Timbalan Pengarang Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia