Hentikan guna nama Utusan Malaysia untuk kepentingan sempit

Hentikan guna nama Utusan Malaysia untuk kepentingan sempit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sejak Utusan Malaysia dilancarkan semula lima tahun lalu, akhbar ini telah mencapai banyak kejayaan. Semua dilakukan atas usaha sendiri, kakitangan, sokongan pembaca serta pelbagai pihak termasuk pengiklan.

Pada masa sama, ada pihak yang tidak bertanggungjawab yang sering mengambil kesempatan menggunakan nama Utusan Malaysia sama ada untuk kepentingan peribadi, syarikat, politik atau untuk memburukkan pihak lain.

Semalam tersebar satu paparan di media sosial yang disunting bertajuk ‘Anwar akui banyak kesilapan dengan US’. Sekali pandang, anda sudah mengetahui bahawa ia bukan hasil Utusan Malaysia kerana semua berita kami menggunakan ‘AS’ bagi merujuk kepada Amerika Syarikat dan bukan ‘US’.

Ini bukan kali pertama perkara ini berlaku. Sebelum ini beberapa paparan akhbar ini termasuk muka hadapan telah disunting dan disebarkan untuk memburukkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Banyak ‘Senyum Kambing’ akhbar ini sering disunting dengan mesej tertentu untuk mendapat ‘likes’. Anda boleh mencipta ‘Senyum Monyet’, ‘Senyum Biawak’ atau apa saja senyuman asalkan bukan ‘Senyum Kambing’ yang menjadi hak cipta rasmi Media Mulia Sdn. Bhd.

Saya tidak mengetahui motif golongan ini. Mungkin mereka mempunyai terlalu banyak masa untuk melakukan kerja bodoh. Kebodohan atau hanya mahu mendapat perhatian?

Anda mungkin tidak bersetuju dengan dasar atau pemimpin kerajaan, lakukan di Facebook atau sosial media sendiri. Cipta kandungan sendiri tanpa mengaitkan nama Utusan Malaysia.

Dalam kejadian terbaru yang memburukan Perdana Menteri, Utusan Malaysia sudah membuat laporan polis supaya siasatan dilakukan terhadap individu terbabit. Beliau dikatakan ada kaitan dengan parti politik tertentu.

Akhbar ini menghormati proses undang-undang dan mereka yang bersalah harus dihukum. Berani buat harus berani tanggung.

Terdapat juga beberapa portal yang menggunakan nama ‘Utusan’. Saya ingin tegaskan di sini semua portal ini tiada kaitan dengan Utusan Malaysia atau Media Mulia. Tidak kira mereka pernah berkhidmat di Utusan Malaysia “lama” atau menyimpan roh syarikat lama. Mereka tiada kena mengena dengan Utusan Malaysia hari ini.

Saya juga ingin menetapkan sebagai rekod rasmi bahawa tiada wakil pengurusan Utusan Malaysia bertemu atau mewakilkan mana-mana pihak seperti NUJ, Geramm atau Majlis Media untuk bertemu atau bercakap bagi pihak kami dalam pertemuan dengan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming pada Isnin lalu.

Kami bukan kanak-kanak. Kami boleh mempertahankan hak dan nama baik akhbar kami tanpa memerlukan pihak ketiga menjadi juara atau bercakap bagi pihak Utusan Malaysia.

Kami berdiri atas kaki sendiri, atas sokongan pembaca kerana mereka adalah pemegang taruh utama kepada kejayaan semasa dan masa depan akhbar ini.

Kami mahu semua pihak berhenti menggunakan nama Utusan Malaysia pada masa hadapan dan sebarang tindakan yang mencemarkan nama baik akhbar ini akan ditangani mengikut asas perundangan sehingga tahap tertinggi. Itu satu janji. – UTUSAN

Mohamad Azlan Jaafar adalah Pengarang Kumpulan Media Mulia Sdn. Bhd.