Hentikan guna isu kaum, agama - Utusan Malaysia

Hentikan guna isu kaum, agama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sudah berlalu. Rakyat sudah membuat keputusan. Tetapi PRU15 yang diadakan bagi mencari kerajaan yang stabil setelah lebih empat tahun negara berada dalam keadaan terumbang-ambing yang menyaksikan pertukaran tiga perdana menteri, berakhir dengan Parlimen tergantung.

Bukan sahaja masalah lama tidak selesai, timbul pula masalah baru. Dakwat di jari sudah hilang tetapi siapa akan dilantik sebagai Perdana Menteri masih menjadi persoalan.
Tiada parti yang mempunyai majoriti mudah 112 kerusi menjadi punca kepada masalah itu.

Keengganan dua gabungan parti yang menang membentuk kerajaan perpaduan memanjangkan lagi kemelut.

Permusuhan yang wujud sejak sebelum pilihan raya dan diburukkan semasa kempen pilihan raya baru-baru ini menyukarkan parti-parti ini untuk bergabung sehingga sekali lagi memaksa Yang di-Pertuan Agong menggunakan kebijaksanaan baginda untuk menentukan ketua kerajaan.

Semua ini berlaku kerana satu isu iaitu sentimen perkauman dan agama yang dimainkan secara melampau semasa berkempen bagi meraih undi. Dalam era ledakan media sosial hari ini, penyebaran bahan sensitif yang mengapi-apikan sentimen perkauman dan agama sangat mudah dilakukan.

Lebih malang dan memalukan ialah apabila ada pemimpin-pemimpin utama parti menggunakan sentimen ini tanpa rasa bersalah untuk memenangi pilihan raya kali ini. Manifesto yang panjang berjela tidak dihuraikan kepada pengundi sebaliknya isu sensitif yang dimainkan.

Isu seperti parti lawan dipengaruhi Yahudi dan Kristian, peristiwa 13 Mei, selain orang bukan Islam tidak boleh minum arak dan berjudi jika parti lawan memerintah negara tentunya resipi mudah mendapat sokongan terutama orang muda.

Bagi kelompok ini, apa sahaja yang mereka terima dalam telefon bimbit mereka dianggap benar dan disebarkan. ‘Kemarahan’ diterjemahkan dalam bentuk undi. Sebab itu, apabila keputusan PRU15 diumumkan, rakyat Malaysia terpecah kepada dua kumpulan besar.

Mereka yang rasional dan melihat kestabilan negara sebagai elemen yang penting dalam memilih pemimpin jauh tertinggal di belakang dan kini tiada suara dalam pembentukan kerajaan.

Amat menyedihkan apabila melihat isu agama dan kaum sudah sepatutnya berada di tahap minimum selepas 65 tahun Malaysia merdeka, rupa-rupanya semakin melebar dan masih menjadi senjata bagi sesetengah pihak demi kepentingan sendiri.

Walaupun platform media sosial paling popular ketika ini, Tik Tok sudah mula mengambil tindakan memadam kandungan yang sensitif itu tetapi ia boleh dianggap sudah terlambat. Kerosakan sudah berlaku.

Justeru, PRU15 ini harus dijadikan panduan untuk pilihan raya akan datang. Pihak berkuasa terutama polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) serta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mesti lebih sensitif dalam isu ini.

Perlembagaan negara sudah menjamin hak setiap kaum dan tidak sewajarnya perkara itu disentuh lagi.

Diharapkan apabila Yang di-Pertuan Agong membuat keputusan sama ada kerajaan perpaduan atau kerajaan minoriti semua pihak mesti menerima keputusan itu dan mula bekerja ke arah pemulihan semula negara.

 

Ismail Daud ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia