Henti segera kemelut politik - Utusan Malaysia

Henti segera kemelut politik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Dalam mana-mana proses pilihan raya, kelebihan satu undi pun dianggap menang. Betul, itulah caranya jika berlaku saingan sengit dalam pengundian dan keputusan siapa yang menang perlu dibuat.

Kemenangan tipis itu berjaya menyelesaikan satu masalah iaitu menentukan pemenang dalam kalangan calon-calon yang bertanding.

Jika keputusan itu hanya melibatkan satu kerusi, mungkin tidak banyak masalah yang timbul tetapi bagaimana jika kerajaan yang dibentuk juga menghadapi masalah sama, menang dengan kelebihan beberapa kerusi sahaja ?

Itulah yang berlaku ketika ini dalam politik tanah air apabila tiada parti yang menang dengan majoriti benar-benar solid untuk menerajui kerajaan kecuali menerusi gabungan beberapa parti.

Terkini selepas berlaku lompat parti dan pilihan raya kecil (PRK), parti-parti utama misalnya DAP mempunyai 42 kerusi, UMNO 39, PKR 38, Bersatu 31, Pas 18 dan PBB di Sarawak memiliki 13 kerusi.

Sebaik sahaja Pilihan Raya Umum Ke-14 berakhir pada 9 Mei 2018, politik tanah air tidak pernah tenteram. Baru separuh penggal berlalu, Malaysia telah mempunyai dua Perdana Menteri. Namun ahli Parlimen masih bercakaran sesama sendiri dan kemelut itu perlu dihentikan segera. Jika tidak ekonomi negara akan terjejas kerana ketidakstabilan politik tidak menyumbang apa-apa pun terhadap kesejahteraan..

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) gabungan Bersatu, DAP, PKR dan Amanah yang dibentuk selepas PRU-14 juga menghadapi masalah. Dengan pelbagai fahaman dan kalangan pemimpin gabungan itu mempunyai sejarah perseteruan sesama sendiri, mereka akhirnya tumbang Februari lalu. Hakikatnya mereka saling menggunakan demi agenda politik masing-masing.

Perikatan Nasional (PN) yang menggantikan PH juga sedang berhadapan kemelut kuasa apabila UMNO menyatakan hasrat mahu menarik semula sokongan terhadapnya, sekali gus meletakkan Bersatu dalam keadaan tidak menentu.

Kini semua parti terlibat sedang mengatur gerakan untuk kelangsungan kuasa. Malangnya sekali lagi rakyat diletakkan dalam keadaan keliru dan ada yang sudah meluat kemelut politik ketika pandemik Covid-19 mengganas.  – UTUSAN