Hayatilah lukisan beruk, katak di Parlimen - Utusan Malaysia

Hayatilah lukisan beruk, katak di Parlimen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Minggu ini, banyak berita menarik mendapat tempat dalam kalangan pembaca. Antara yang terus menjadi perbincangan ialah sebuah lukisan sarat dengan haiwan seolah-olah menggambarkan suasana sidang Parlimen di negara ini.

Keunikan lukisan belum diketahui asal-usulnya terserlah apabila Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah tertarik dan membelinya untuk diletakkan di bilik bacaan peri­badi baginda.

Sejak itu, pelbagai reaksi dilontar oleh pelbagai pihak untuk menjelas dan membuat penilaian terhadap karya seni itu.

Daripada semua reaksi tersebut, ramai yakin bahawa lukisan berimej katak dan beruk itu mewakili ahli parlimen negara ini setiap kali mereka bersidang.

Tidak boleh dinafikan tiba sahaja musim Parlimen bersidang bermacam gelagat boleh disaksikan rakyat. Ramai juga yang mengikuti siaran langsung sidang Parlimen bukannya untuk mengetahui dasar-dasar kerajaan sebaliknya mahu menyaksikan gelagat wakil-wakil rakyat ketika berbahas.

Pendek kata sepanjang bersidang bermacam gaya, ada yang menghiburkan, menyakitkan hati dan tidak kurang memening­kan kepala.

Dari sini, mungkin itulah yang tersirat di sebalik nukilan satira itu. Menerusi lukisan tersebut hanya terdapat tiga imej digambarkan sebagai manusia iaitu mungkin speaker manakala dua lagi mungkin kakitangan Parlimen.

Ada yang meneka bahawa imej speaker itu ialah Tan Sri Azhar Azizan Harun yang menyampai ucapan sulung sebaik dilantik sebagai speaker baharu pada 13 Julai 2020.
Di hadapan Azizan itu, beliau digambarkan perlu berdepan dengan kumpulan haiwan termasuk katak, gelaran negatif untuk ahli parlimen bertukar parti.

Minda pelukis ketika itu antara lain mungkin mahu me­nyampaikan bagaimana speaker terpaksa menguruskan sidang bersama wakil rakyat yang pelbagai ragam.

Dalam hal ini, Sultan Selangor membuktikan baginda raja berfikiran jauh dan senantiasa mengikuti perjalanan pentadbiran negara sehingga tertarik dengan lukisan simbolik itu.

Kebijaksanaan baginda sudah tentu lahir daripada sikap prihatin baginda mengenai hal ehwal rakyat dan pentadbiran.

Sultan Selangor antara raja yang banyak memberi panda­ngan mahupun teguran kepada kerajaan negerinya demi keharmonian rakyat.

Antaranya baginda sendiri berulang kali menyeru rakyat mengambil vaksin Covid-19 selain pernah menzahirkan dukacita baginda susulan keluhan rakyat akibat gangguan bekalan air yang kerap berlaku di negeri itu sebelum ini.

Baginda juga terkenal dengan raja yang ‘mencintai’ haiwan terutama kucing. Mengikuti laman sosial Selangor Royal Office­ sudah banyak kali dipamerkan kasih sayang baginda kepada kucing yang ada antaranya diselamatkan baginda.

Justeru, menerusi lukisan yang menjadi tarikan kepada Sultan Selangor itu, wakil rakyat tanpa mengira parti harus mengambil iktibar mengenai maksud yang mahu disampaikan pelukis. Cukup-cukuplah mencarut, memekik, menun­ding sana sini dan lebih buruk ‘mengacau’ rakan-rakan lain ketika sesi sidang Parlimen.

 

Teon Eg ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia.

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya