Hayati dan bukan menghafal fakta sejarah - Utusan Malaysia

Hayati dan bukan menghafal fakta sejarah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEGARA kita menyambut Hari Kemerdekaan ke-63 hari ini. Kepada ramai rakyat, ia hari yang sangat penting selepas sambutan acara keagamaan.

Kemerdekaan sering dikaitkan dengan berakhirnya penjajahan British yang bermula secara formal pada 1867.

Jika diambil kira kedatangan Francis Light dan penipuannya terhadap Kesultanan Kedah bagi mendapatkan Pulau Pinang, pihak British terbabit secara langsung dalam politik di Semenanjung seawal 1771.

Kisah penaklukan oleh penjajah bermula lebih lima abad lalu dengan kedatangan Portugis di Melaka sehingga penaklukan Jepun ketika Perang Dunia Kedua dan kembalinya semula British sebelum tarikh keramat pada hari ini 63 tahun lalu.

Tanah Melayu ditakluki, hasilnya dipunggah dan golongan berkulit putih mengaut semua kekayaan hasil bumi. Kisahnya hampir sama di semua negara yang dijajah penjajah barat sama ada di Asia, Amerika Selatan dan Afrika.

Tetapi berbeza dengan banyak negara, kemerdekaan yang dicapai oleh Malaysia dilakukan tanpa pertumpahan darah seperti di negara-negara lain di dunia.

Algeria berperang dengan Perancis, Argentina menentang kerabat Sepanyol, Belanda menentang Sepanyol. Mexico, Peru, Ecuador, Venezuela, Chile, Bolivia, dan Turki mempunyai ‘peperangan kemerdekaan’ mereka sendiri.

Sambutan kemerdekaan mereka sambutan kemenangan peperangan terhadap penjajah. Darah yang mengalir dan kematian pejuang-pejuang disanjung sebagai pengorbanan terbesar. Mereka adalah ‘patriot’.

Malaysia lebih bernasib baik kerana kemerdekaan dicapai di meja rundingan dan bukan di hujung pedang atau senjata. Tetapi mungkin kerana kemerdekaan yang dicapai bukan menerusi peperangan menjadikan kita leka erti sebenar mengecap kebebasan.

Kepada mereka yang berusia lebih 80 tahun, kemerdekaan lebih bermakna kerana mereka melalui kesengsaraan penaklukan Jepun.

Tetapi kepada ramai golongan muda, 31 Ogos mungkin hanya satu lagi cuti umum di negara yang sudah terlalu banyak hari pelepasan kerja.

Kesilapan sistem pendidikan sejarah yang menekankan kepada penghafalan tarikh seperti Portugis menawan Melaka (1511), diikuti Belanda (1641) dan penubuhan Malaysia (1963) dan bukan memperhalusi ‘perjuangan’ dan liku-liku pembentukan Malaysia yang merdeka. Tanpa mengetahui kisah dan menghargai kesengsaraan rakyat awal negara ini, sukar menterjemahkan erti kemerdekaan di dalam naluri rakyat.

Teknologi membawa kita ke hadapan. Sejarah mengajar kita menghargai kegemilangan, menyelami kesengsaraan dan mempelajari kesilapan. Tanpa penghayatan hari ini tidak ada beza dengan hari-hari lain. Selamat Hari Kebangsaan ke-63.

Mohamad Azlan Jaafar ialah Pengarah Urusan dan Pengarang Kumpulan Media Mulia Sdn. Bhd.