Harga yang dibayar dunia kerana keegoan Trump

Harga yang dibayar dunia kerana keegoan Trump

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KONFLIK di Asia Barat memasuki minggu ketiga dengan tiada tanda Amerika Syarikat yang digelar Iran sebagai syaitan dan Zionis Israel untuk menghentikan apa yang bermula sebagai percubaan membunuh pemimpin telah bertukar kepada perang serta krisis global.

AS dan Presidennya, Donald Trump sudah berhadapan tekanan. Iran tidak mahu mengaku kalah. Daripada tunduk kepada zionis dan AS, Iran telah meluaskan serangan ke semua kemudahan ketenteraan dan fasiliti yang ada kaitan dengan kuasa barat itu di negara-negara teluk. Dubai dan Abu Dhabi di UAE, Arab Saudi, Iraq, Bahrain, Jordan, Kuwait, Qatar, Cyprus dan Oman semua terkena tempias konflik itu. Iran juga berjanji akan membakar rantau itu dan menjanjikan harga minyak mencapai AS$200 setong.

Trump yang terdesak menawarkan wang AS$10 juta untuk “kepala” pemerintah tertinggi Iran, Mojtaba Khamenei yang dilantik menggantikan bapanya Ali Khamenei yang dibunuh AS-Israel dalam serangan awal.
Malah AS mendakwa pemimpin tertinggi itu kini cedera dalam serangan yang sememangnya bertujuan membunuh mana-mana individu yang tidak sehaluan dengan Washington. Bayangkan dunia hari ini berdepan keadaan seorang pemimpin yang merayakan pembunuhan seorang pemimpin negara lain seperti apa yang mungkin dikatakan diktator Joseph Stalin, Adolf Hitler, Benito Mussolini dan Pol Pot.

Trump dalam media sosialnya menulis: “Mereka membunuh orang tidak berdosa di serata dunia selama 47 tahun, dan sekarang saya, Presiden negara Amerika Syarikat yang ke-47, sedang membunuh mereka. Ia satu penghargaan besar untuk melakukannya! Terima kasih atas perhatian anda berkaitan perkara ini,”.

Kesan perang ini walaupun berusia tiga minggu sudah mula menjejaskan dunia. Di Bangladesh, kerajaannya menutup semua universiti dan melancarkan catuan minyak kepada penduduk sebagai langkah mengurangkan penggunaan elektrik dan minyak. Negara yang dengan 170 juta penduduk dan kelapan paling ramai di dunia mengimport 95 peratus keperluaan minyaknya.

Di Korea Selatan telah menetapkan harga jualan minyak dan barangan petroleum, pertama kali dalam 30 tahun selain melarang eksport bahan api itu.

Kerajaan Thailand dan Vietnam sudah menggalakkan pekerja untuk bekerja dari rumah. Beberapa negara jiran Malaysia sudah mula menggunakan dana simpanan untuk mengekalkan harga minyak supaya tidak menjejaskan rakyat mereka. Negara-negara ini juga mempunyai stok simpanan minyak dalam lingkungan dua hingga tiga bulan.

Di seluruh dunia, pengguna akan merasai kos kenaikan harga gas dan minyak termasuk di AS yang memulakan sengketa ini. Inflasi akan naik kerana kos pengeluaran dan pengangkutan meningkat. Harga barang yang diimport turut akan naik.

Syarikat penerbangan di seluruh dunia termasuk Malaysia sudah bercadang mengurangkan penerbangan berikutan harga minyak untuk kapal terbang meningkat sekali ganda. Penumpang juga perlu membayar caj minyak berikutan mi­nyak merangkumi hampir 50 peratus kos operasi penerbangan.

Malaysia akan melalui keperitan disebabkan perang yang dimulakan Trump kerana negara mengimport kira-kira 60 peratus keperluan minyaknya.

Kerajaan menyatakan kos tambahan dianggarkan RM3.5 bilion sebulan untuk subsidi. Kita telah melalui krisis Kewa­ngan Asia 1997-98, Krisis Kewangan Global 2008 berpunca kejatuhan hartanah AS dan tragedi Covid-19 dan kemelesetan ekonomi 2020. Kini kita berdepan krisis disebabkan keegoan satu diktator yang kosnya dibayar dan ditanggung oleh lebih tujuh bilion penghuni dunia.

 

Mohamad Azlan Jaafar adalah Pengarang Kumpulan Media Mulia Sdn Bhd UTUSAN