Harga komoditi turun meredakan kadar inflasi

Harga komoditi turun meredakan kadar inflasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Azlan mindaINFLASI dan kenaikan harga barang mendapat tumpuan masyarakat. Angka inflasi terbaharu menunjukkan kenaikan 3.4 peratus pada Jun berbanding setahun lalu, didorong kenaikan hampir semua barangan.

Ayam, nasi berlauk, roti canai yang termasuk dalam bakul inflasi semua menunjukkan peningkatan. Kenaikan itu sudah dijangka kerana setahun lalu negara masih ‘separuh dikurung’ oleh Covid-19. Permintaan tidak setinggi sekarang.

Masyarakat hidup dalam keadaan berhati-hati. Pengangguran tinggi. Inflasi dikekang oleh permintaan lemah. Hari ini keadaan sangat berbeza. Inflasi sudah dijangkakan selepas keputusan menaik­kan gaji minimum kepada RM1,500.

Kenaikan harga hampir semua komoditi melonjakkan kos pengeluaran semua produk. Di UK, inflasi barangan keperluan atau grocery dijangka naik sebanyak 454 pound tahun ini, menghampiri tahap tertinggi dalam 14 tahun.

Di Malaysia tekanan sama dirasai tetapi pada kadar lebih rendah. Kenaikan sebenar inflasi dikekang pemberian subsidi besar oleh Put­rajaya. Tanpa subsidi, inflasi di Malaysia akan setinggi seperti di UK.

Ia juga sama seperti angka bankrap. Walaupun Bank Negara Malaysia menyatakan jumlah angka bankrap menurun sejak dua tahun lalu, apa yang gagal dinyatakan angka ambang (threshold) seseorang diisytihar muflis dinaikkan dari RM50,000 kepada RM100,000. Ia seperti tiang gol dikecilkan atau tempat sepakan penalti diubah ke tengah padang. Tentu sukar menjaringkan gol.

Kalau 360,000 mendapat ‘talian hayat’ menerusi bantuan AKPK, faktanya kekal mereka gagal menunaikan tanggungjawab seperti ditetapkan dalam perjanjian pinjaman asal.

Secantik mana gambar bunga dilukis, ia masih tidak seharum bunga sebenar. Bagaimanapun semuanya bukan buruk, gelap dan mendukacitakan.

Pengangguran susut buat pertama kali di bawah empat peratus sejak dua tahun pada Mac lalu. Kadar pengangguran naik kepada rekod tertinggi 5.3% pada Mei 2020. Perbelanjaan pengguna dijangka mencapai RM768 bilion tahun ini.

Jika ada kebimbangan kekayaan rakyat, lihat sahaja tempahan kereta Honda HR-V yang mencapai lebih 20,000 unit dan Perodua Alza lebih 30,000. Kebanyakan pembeli terpaksa menunggu lebih enam bulan.

Kebimbangan terhadap inflasi akan menurun dengan penurunan harga komoditi. Minyak kelapa sawit susut 33 peratus sejak tiga minggu lalu dan dijangka turun sehingga RM3,000 setiap tan.

Baru sahaja penanam bergembira harga capai RM8,000 setiap tan. Harga minyak mentah Amerika Syarikat (AS) turun kepada bawah AS$95 setong kelmarin, paras terendah sejak April lalu.

Inflasi akan turun secara logik apabila kos bahan utama menurun. Cuma masalahnya ini Malaysia. Adakah pengeluar dan penjual akan menurunkan harga? Pelbagai alasan akan diberikan daripada kenaikan sewa bangunan, gaji minimum RM1,500, stok lama dan kos lain.

Malah ada sudah memberi alasan minyak masak akan ambil masa 10 bulan sebelum stabil dan menurun. Putrajaya berhadapan satu lagi cabaran memaksa pengeluar dan peniaga menurunkan harga apabila kos asas menurun. Ia proses yang sukar walaupun ada undang-undang. Paling berkesan untuk menangani inflasi serta kedegilan peniaga menurunkan harga adalah tekanan pengguna.

Jika perbelanjaan mengurang, harga akan turun dan inflasi me­nurun dengan sendirinya. Itu kuasa rakyat yang tidak dapat ditan­dingi polisi kewangan. – UTUSAN

  • Mohamad Azlan Jaafar adalah Pengarang Kumpulan Media Mulia Sdn. Bhd.

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.