Harapan pada tahun 2023 - Utusan Malaysia

Harapan pada tahun 2023

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SELAMAT menyambut tahun baharu 2023. Sudah tentu kita harapkan kehadiran 2023 akan lebih menceriakan dan membahagiakan. Tahun yang kita harapkan lebih baik daripada tahun-tahun sebelumnya terutama ketika negara berada di fasa pandemik Covid-19.

Kini tahun 2022 sudah menjadi sejarah. Segala cerita sudah-duka, gundah-gulana, pahit-maung telah ditinggalkan sebagai catatan yang diharap tidak akan berulang pada 2023.

Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada November tahun lalu menyaksikan negara ditadbir oleh kerajaan baharu yang dipanggil kerajaan perpaduan.

Sudah tentu banyak yang diharapkan oleh rakyat daripada kerajaan ini. Bukan sekadar mengembalikan kestabilan politik dan keyakinan masyarakat tempatan dan antarabangsa, rakyat juga berharap kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim ini mampu membawa perubahan paradigma dalam setiap aspek urus tadbir negara yang akan membawa manfaat kepada rakyat.

Isu-isu yang berkaitan dengan jaminan bekalan makanan perlu diatasi segera kerana ia membabitkan kesejahteraan rakyat secara keseluruhannya.

Di sebalik pelbagai jaminan yang diberikan, isu harga bara­ngan makanan nampaknya akan terus membelenggu kehidupan rakyat tahun ini. Ini apabila para pakar ekonomi meramalkan ia akan naik sekitar 10 peratus.

Harga naik satu hal, jaminan ada­nya bekalan satu hal lagi.

Harga dan bekalan ayam, telur, minyak masak mungkin nampak remeh pada segelintir bapa menteri, tetapi kepada rakyat ia soal survival. Kalau ayam, ikan, daging, telur bukan sahaja mahal tetapi bekalan pun kurang apa pilihan rakyat?

Jika isu ini tidak diatasi mungkin tidak mustahil rakyat terpaksa beralih kepada tempe, kacang dal dan soya sebagai sumber protein seperti mana yang disarankan oleh pakar pemakanan.
Tetapi sebagai sebuah negara yang maju yang dipimpin oleh para pemimpin berwibawa, mustahil hal yang berkaitan dengan keperluan asas ini tidak dapat diselesaikan.

Selain itu rakyat juga mengharapkan situasi ekonomi yang lebih baik untuk 2023. Diharapkan persekitaran ekonomi akan lebih positif terutama dalam menghasilkan peluang-peluang pekerjaan baharu untuk anak-anak.

Saban tahun graduan yang memasuki pasaran pekerjaan bertambah, namun sepanjang tempoh pandemik peluang pekerjaan yang wujud amat sedikit menyebabkan ramai lepasan universiti menjadi pemandu p-hailing dan penghantar makanan untuk menyara kehidupan. Itu belum diambil kira mereka yang dibuang kerja ekoran perniagaan terpaksa ditutup akibat Covid-19.

Sebagai rakyat kita tidak mahu pertumbuhan ekonomi yang hanya gah dari segi angka di atas kertas. Kita mahu pertumbuhan yang dapat dirasai dan dinikmati oleh setiap rakyat. Diharapkan barisan kepimpinan kerajaan perpaduan ini mempunyai strategi jangka pendek dan panjang untuk kesejahteraan rakyat dan negara.

Selain itu isu-isu yang berkaitan sistem pendidikan, tenaga kerja asing untuk sektor perladangan dan pembinaan juga perlu diatasi segera dalam usaha merancakkan lagi ekonomi pada 2023.

Cuma kita harapkan tidak ada pihak yang mengambil untung atas angin di sebalik pengambilan tenaga kerja asing ini seperti mana yang berlaku sebelum ini.

 

Aznan Bakar adalah Pengarang Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya