Harap tak dengar lagi cerita lewat

Harap tak dengar lagi cerita lewat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISU kelewatan dan pembatalan penerbangan bukan perkara baharu. Ramai yang sudah merasainya. Namun, sejak kebelakangan ini, isu itu dikatakan semakin teruk.

Seorang sahabat bercerita, dia dengan anak kecilnya terpaksa berkampung di lapangan terbang sehingga awal pagi. Dia sepatutnya sampai di rumah sekitar pukul 9 malam tetapi berakhir dengan hampir waktu subuh.

Seorang lagi sahabat yang hendak menunaikan umrah pula terpaksa mencari hotel kerana ibu bapanya sudah sudah tua tidak ‘larat’ menunggu selepas penerbangan ditunda tujuh jam. “Tak tahulah kalau ini dugaan untuk menjadi tetamu Allah,’’ katanya.

Kalau kita tinjau komen di media sosial, semua yang pernah ‘terkena’ berazam untuk memboikot syarikat penerbangan itu tetapi realitinya mungkin seorang dua sahaja yang melakukannya.

Yang lain tetap memilih syarikat itu. Faktor utama ialah tambangnya murah walaupun boleh jadi mahal jika diambil kira pelbagai kos yang tersembunyi.

Pelbagai alasan diberikan, antaranya pintasan burung, kerosakan akibat objek asing dan penahan petir sebagai punca terpaksa menarik keluar pesawat daripada jadual, seterusnya menjadi punca kelewatan.

Justeru, sudah tiba masanya Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) sebagai badan mengawal sedia industri penerbangan di negara ini, bertindak proaktif dan lebih tegas dalam isu ini.

Paling penting, memastikan hak-hak pengguna dipatuhi sepenuhnya. Antaranya ialah menyediakan makanan, akses internet dan telefon, hotel dan pengangkutan mengikut berapa lama penerbangan tertunda.

Kalau penerbangan dibatalkan pula, penumpang berhak mendapat bayaran balik atau penerbangan alternatif. Namun, semua hak itu tidak pernah ditunaikan sepenuhnya.

Aduan pula hendaklah dibuat ke syarikat penerbangan terlebih dahulu. Mavcom hanya akan masuk campur kalau syarikat itu gagal menyelesaikan aduan selepas 30 hari, ya 30 hari.

Sangat susah sebenarnya untuk tuntut hak kita sedangkan bukan salah kita. Tetapi kalau hak ‘dia’, masa itu juga perlu diselesaikan. Tiada runding, tiada budi bicara. Bagasi terlebih sekilo, bayar. Lewat lima minit, beli tiket lain.

Mavcom bukan hanya perlu menyelesaikan masalah yang sudah berlaku tetapi juga perlu memantau dari awal supaya masalah isu tunda dan batal penerbangan tidak berlaku.

Mavcom perlu meneliti jadual penerbangan dan jumlah pesawat yang ada supaya tidak berlaku isu kekurangan pesawat akibat jadual terlalu padat.

Kita boleh faham syarikat penerbangan mahu memaksimumkan penggunaan pesawat tetapi perlu juga ada sedikit fleksibiliti dan mengambil kira faktor lain dan luar jangka.

Mavcom ada aplikasi FlySmart. Aplikasi ini perlu diperkasa dan menjadi platform tunggal untuk pengguna membuat aduan terhadap syarikat penerbangan. Mungkin dengan cara ini, syarikat penerbangan lebih peka terhadap aduan pengguna.

Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia (MACPC) 2022 juga wajar dipercepatkan demi melindungi pengguna khususnya dalam isu bayaran balik, yang kini didakwa dimanipulasi dengan menggantikannya dalam bentuk lain termasuk mata ganjaran.

Kini, musim cuti rakyat Malaysia datang lagi. Kita harap tidak lagi mendengar cerita tidak enak daripada rakan-rakan yang bercuti dengan menggunakan pesawat apabila mereka kembali bekerja nanti. – UTUSAN

  • Ismail Daud ialah Pengarang Berita Kanan Utusan Malaysia

 

 

 

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya