Halal ganja boleh selesaikah isu penagihan

Halal ganja boleh selesaikah isu penagihan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Tiada siapa menafikan daun ganja, ketum ada khasiatnya dari segi perubatan. Ada yang kata ia baik untuk rawatan penyakit barah malah penyanyi Yassin Sulaiman juga mendakwa beliau menanam gaun ganja untuk tujuan perubatan bagi merawat penyakit mental yang dihidapinya.

Malah zaman dulu, penduduk kampung menggunakan ketum untuk merawat anak-anak kecil yang me­ngalami sakit perut.

Di Amerika Syarikat, khasiat kedua-dua daun ber­kenaan diiktiraf dan sebab itulah ubat berasaskan ganja, ketum dijual di negara berkenaan.

Bagi Malaysia, ketum boleh ditanam tetapi tidak boleh dijual. Ganja pula sememangnya diharamkan apatah lagi penjualannya secara terbuka. Malah hukuman berat termasuk gantung sampai mati menanti mereka yang disabitkan dengan kesalahan mengedar ganja.

Namun ketum dari negara ini yang disifatkan terbaik kuallitinya dijual ke negara jiran kerana mendapat permintaan yang tinggi. Ia dijual secara haram menerusi laluan tikus di sempadan negara dengan Thailand. Sebab itulah ada yang mencadangkan agar ketum dihalalkan supaya perdagangannya atas nama perubatan, dapat membawa keuntungan kepada negara.

Ganja pula oleh kerana haram ditanam dan dijual di negara ini, sebahagian besar daun itu diseludup masuk dari negara jiran. Kalau pihak berkuasa dan keselamatan berusaha mengekang penyeludupannya, para penyeludup juga sentiasa mencari jalan untuk membawanya masuk.

Apabila kerajaan Thailand menghalalkan penanaman ganja di negara itu bagi tujuan kegunaan sendiri, sudah pasti untuk tujuan kesihatan, ia dikhuatiri turut membawa kesan kepada negara ini terutama peningkatan dari segi penyeludupan.

Malah ada yang beranggapan perkembangan di negara itu seperti syurga kepada mereka yang mengambil ganja. Ia bukan suatu yang menghairankan kerana ganja juga boleh disalah guna untuk tujuan berhibur dan menghilangkan gian terhadap dadah atau untuk berkhayal.

Ada cadangan agar kerajaan juga menghalalkan pena­naman ganja untuk perubatan di negara ini. Sekurang-kurangnya ia dapat mengatasi masalah penyeludupan bahan terlarang itu ke negara ini. Alasannya, kenapa perlu seludup ganja dari Thailand jika Malaysia pun ada ganja sendiri. Memang ada logiknya di situ.

Namun yang menjadi persoalannya, berapa ramai yang mahu menggunakan ganja untuk perubatan dan berapa ramai pula yang menyalahgunakannya bagi melepaskan ketagihan dan berkhayal?

Kalau daun ketum yang boleh diperoleh secara percuma pun disalahguna, ganja pun sama juga masalah­nya. – UTUSAN

  • Nizam Abdul Hamid ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia