Guna ‘mata helang’ bantu diri sendiri

Guna ‘mata helang’ bantu diri sendiri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RISAU melihat dan mendengar di sana sini orang kita me­ngadu, mengeluh, merintih susah.

Anak-anak muda kita, apa lagi di universiti-universiti pun lebih kurang sama nadanya.

Kita di negara ini sebenarnya amat bernasib baik. Orang Melayu semestinya bermula dengan pendirian kalau kita tidak bantu diri sendiri, tiada siapa akan bantu kita. Kalau kita ada kerajaan, anggap sahaja itu nilai tambah kepada kita – bonus.

Kita mesti bersedia hadapi keadaan suatu hari nanti kita tidak ada apa-apa. Kita bukan sesiapa. Perlu belajar bangunkan ketahanan dan kekuatan diri sendiri. Jangan dimuakan sangat. Usah terlalu bergantung kepada orang lain. Bila sendiri susah kerana tidak mahu berusaha, salahkan orang lain dan kerajaan.

Renungkan perkara paling asas dalam kehidupan, isu tuntutan ilmu misalnya. Bukankah sudah maklum sejak azali lagi anak-anak yang baru lahir ini akan masuk ke universiti 17 tahun akan datang?

Jadi, belajarlah menyimpan dan melabur dari sekarang.

Set dan disiplinkan norma-norma kehidupan. Yang hairannya, bangsa lain peka hal ini terutama soal ambil insuran pelajaran dan kesihatan. Kita sahaja yang kurang atau sengaja tidak prihatin.

Tahu-tahu bila masanya tiba anak sudah dewasa perlukan duit dan segala keperluan untuk masuk universiti, kita tiada bekalan kewangan. Mahu kerajaan suapkan belaka. Inilah basic.

Di universiti-universiti pula, baik pelajar mahupun pensyarah, mereka tidak boleh lagi biasa-biasa. Mesti ada tekad dan nilai berdaya cipta. Tunjukkan bahawa universiti boleh melahirkan sesuatu yang bermakna untuk diri dan orang lain. Ke­pimpinan universiti wajib sahut cabaran ini.

Daya tahan, daya saing apa lagi daya cipta perlu sentiasa bernyala dalam diri. Hal mahasiwa duduk beramai-ramai enam, tujuh orang menyewa tiga, empat bilik penginapan luar universiti demi tuntutan ilmu, anggap itu lumrah. Cuba tanya mak bapa anda waktu mereka jadi mahasiswa dulu, mereka belajar senangkah? Kuliah dalam aircond kah?

Itu hal di universiti, yang kita percaya bertitik tolak dari gedung ilmu inilah yang boleh merubah diri orang Melayu. Iaitu dari bergantung kepada ‘tongkat’ (keistimewaan) kita selama ini.

Perbetulkan yang biasa, biasakan yang betul.

Macam yang selalu diingatkan oleh akhbar ini, kita orang Melayu hendak berharap kepada siapa lagi? Kepada diri sendirilah untuk mencapai puncak kehidupan. Madu, racun, kaca, permata – pilihan di tangan masing-masing.

Hendak bersandar kepada orang politik, sebahagian mereka asyik bertelingkah berebut kuasa dan jawatan. Tak habis-habis biarpun pilihan raya umum sudah berlalu 11 bulan sudah. Raja-raja sudah bertitah jaga perpaduan, jaga tingkah laku pun mereka ini masih fi’il yang sama.

Apa lagi bila di ambang pilihan raya, baik pilihan raya kecil, besar, habis porak peranda pemikiran orang Melayu mahu digodak, dikelirukan.

Pandang dengan mata helang apa yang terhidang di depan dari ‘keistimewaan’ yang disediakan. Hanya tinggal untuk kita garap dan suntikkan dengan nilai daya saing dan daya cipta.

Jangan pula kita terkulat-kulat, melopong sahaja – sedang­kan orang lain bijak menilai, seterusnya menjayakannya sahaja. – UTUSAN

  • Zulkifli Jalil adalah Timbalan Pengarang Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia