Gred D atau A, adakah rakyat kecapi kehidupan lebih baik

Gred D atau A, adakah rakyat kecapi kehidupan lebih baik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Terdapat perbincangan meluas mengenai Gred diperoleh Kerajaan Perpaduan selepas BERSIH memberikan gred D berhubung reformasi yang dijanjikan kerajaan yang ditubuhkan dua tahun lalu.

Pembangkang dengan pantas menggunakan penggredan BERSIH untuk mengkritik kerajaan. Kerajaan dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertahankan rekod dua tahun Kerajaan Perpaduan dengan menyenaraikan kejayaan yang dicapai dalam tempoh 24 bulan lalu.

Ramai rakyat turut serta dalam perbincangan ini dan memberikan gred masing-masing. Harus diingat gred diberikan oleh BERSIH merangkumi reformasi yang dilaksanakan Putrajaya sejak diambil alih oleh kerajaan campuran.

Reformasi adalah perkataan yang indah sebagai slogan tetapi bukan mudah untuk dilaksanakan terutama di negara yang lebih 60 tahun berkembang dengan struktur dan politik sama.

Reformasi mungkin sesuatu yang besar kepada mereka yang tinggal di Bukit Damansara, Hartamas atau di bandar besar. Mereka melihat dunia dari kaca mata berbeza. Keperluan dan kehendak mereka berlainan.

Pandangan reformasi sama ada berdasarkan kehidupan, pe­ngaruh dan kebebasan yang dikecapi barat kerana dianggap ia terbaik. Barat adalah pusat kepada kebebasan. Di Amerika orang kulit hitam hanya dibenarkan mengundi pada 1964. Ini negara yang bercakap mengenai kebebasan dan ‘Firstism’.

Untuk Kak Timah dan Mak Leha di kampung yang hanya dihubungi jalan yang boleh dilalui sebuah kenderaan dan capaian internet 2K (kadang-kadang) kecuali ada tiang 5G, adakah reformasi menjadi perkara terpenting di benak hati.

Penulis bersetuju sesetengah undang-undang di negara ini masih seperti di era ‘Fred Flintstone’ seperti tindakan undang-undang terhadap kenyataan-kenyataan yang menimbulkan ‘ke­gusaran’.

Sampai saat ini penulis sendiri sukar menilai gred ‘kegusaran’ sama ada ‘Sangat Gusar’, ‘Terlalu Gusar’ atau ‘Kegusaran Melampau’. Sebarang reformasi yang ditegakkan harus berpaksi kepada keadilan dan bukan kebebasan mutlak. Sebenarnya tiada kebebasan mutlak. Hanya ketamakan mutlak kerana 70% hati manusia didorong ketamakan.

Reformasi yang dicadangkan tidak semestinya membawa kebaikan mutlak. Tidak semestinya seseorang yang mendapat A semasa SPM akan berjaya. Ramai yang berjaya walaupun pernah dicop akan gagal dalam kehidupan.

Jika mahu bercakap mengenai reformasi sebenar, kerajaan harus membuang semua subsidi kerana ia beban kepada kewangan negara. Kemasukan semua pelajar ke universiti awam tidak harus berdasarkan kaum tetapi keputusan Gred A tanpa mengira seseorang itu kaya atau miskin.

Reformasi – buang perkataan kaum dari semua kad pengenalan dan semua rakyat dikenali berdasarkan kewarganegaraan dan bukan kaum. Itu reformasi.

Tetapi apa yang penting kepada rakyat majoriti? Pada akhir­nya, makanan di atas meja. Kesenangan mencari duit secara halal. Peluang sama rata terhidang tanpa pelbagai halangan. Anak-anak mendapat pekerjaan.

Kehidupan yang adil tanpa membelakangi norma kemanusiaan. Kebahagiaan di negara sendiri tanpa perlu berhijrah ke negara asing.

Adakah Malaysia sudah sampai ke peringkat itu? Selagi semua asas ini tidak diperbaiki, tiada reformasi sebenar di bumi Malaysia. Kadang-kadang kita nampak hutan dan bukan pokok. Bela pokok untuk jangka panjang dan hutan itu akan kekal hijau.

Mohamad Azlan Jaafar adalah Pengarang Kumpulan Media Mulia Sdn. Bhd. – UTUSAN