Graduan mahu kerja, bukan ranking universiti - Utusan Malaysia

Graduan mahu kerja, bukan ranking universiti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Apa graduan dapat jika universiti mereka mendapat ranking 10 terbaik dunia dan Asia? Selain masyhur kerana berupaya mengejar imej dan menaikkan nama universiti, ia hanya dilihat usaha syok sendiri selain tidak memberi manfaat kepada graduan-graduan yang dihasilkan.

Setakat ini, tiada jaminan graduan-graduan daripada universiti yang ternama ini akan diambil bekerja di syarikat-syarikat tersohor dan ia juga bukan tiket untuk mereka mendapat jawatan tinggi di sektor kerajaan.

Apa yang berlaku di Malaysia kini adalah penawaran me­lebihi permintaan.
Malah, setiap tahun, lebih 90,000 daripada 224,000 graduan di negara ini berdepan dengan masalah pengangguran akibat kekurangan peluang pekerjaan di samping pengeluaran lepasan universiti secara ‘berlebihan’.

Secara pukul ratanya, graduan-graduan menganggur ini turut berada dalam lima universiti tempatan yang tersenarai 50 universiti terbaik Asia iaitu Universiti Malaya (UM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Bercakap mengenai ketulenan penarafan itu sendiri, ia boleh dipertikai kerana diukur menerusi sebuah badan ko­mersial, Quacquarelli Symonds (QS) yang berpangkalan di Barat. Sudah tentu elemen yang dinilai adalah bercorak ke­pentingan Barat.

QS merupakan sebuah syarikat British yang kini ­memasuki tahun ke-20 menjalin kerjasama dengan sektor pengajian tinggi di seluruh dunia.

Lihat sahaja senarai 10 universiti terbaik dunia yang dikeluarkan badan yang sama pada 10 Julai lalu yang memperlihatkan dominasi dan penguasaan dari Amerika Syarikat dan Eropah.
Massachusetts Institute of Technology (MIT) mendapat tempat teratas buat kali ke-12 diikuti University of Cambridge, University of Oxford, Harvard University, Stanford University, Imperial College London, ETH Zurich – Swiss Federal Institute of Technology, National University of Singapore (NUS), University College London (UCL) dan University of California, Berkeley (UCB).

Di peringkat dunia, UM mendapat tempat ke-65 manakala USM (137), UPM (158), UKM (159) dan UTM di tempat 188.

Keputusan penarafan itu dikatakan berdasarkan analisis penilaian 17.5 juta kertas akademik dan pandangan pakar menerusi lebih 240,000 fakulti dan majikan.

Bagi konteks di Malaysia, saya berpendapat, penarafan itu tidak penting sebaliknya masalah utama yang perlu diberi penekanan adalah kualiti graduan selain nilai tambah perlu dibuat menerusi program pengajian di peringkat fakulti.

Setiap fakulti perlu merombak isi kandungan pengajian agar sejajar dengan kehendak industri, pengajian mengikuti perkembangan semasa dan bukan berasaskan teori semata-mata.

Sudah tiba masanya fakulti-fakulti baharu diwujudkan dengan menyuntik elemen media baharu yang boleh menghasilkan jurutera dan pencipta kandungan yang memasukkan elemen kecerdasan buatan (AI).

 

Azman Ibrahim ialah Penolong Pengarang Berita Utusan Malaysia