Gelanggang PRN Negeri Sembilan mula dibuka

Gelanggang PRN Negeri Sembilan mula dibuka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Hari ini bermulanya kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan sebelum seramai 889,490 pengundi menunaikan tanggungjawab mereka bagi memilih wakil rakyat di 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan.

PRN kali ini berlangsung hampir genap tiga tahun selepas proses demokrasi terakhir di negeri ini pada 12 Ogos 2023. Tiada siapa menjangkakan pilihan raya perlu diadakan dalam tempoh yang begitu singkat.

Semua sedia maklum mengapa PRN ini terpaksa diadakan. Bagi ramai pihak, inilah jalan terbaik untuk mendapatkan semula mandat rakyat sekali gus menamatkan kemelut, krisis dan polemik yang melanda negeri ini sejak beberapa bulan lalu.

Berbeza dengan PRN Johor yang baru berlalu dan PRN Melaka yang bakal menyusul, PRN Negeri Sembilan bermula tanpa mana-mana parti atau gabungan boleh mendakwa mempunyai kelebihan untuk membentuk kerajaan negeri.

Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN), yang sebelum ini bergabung membentuk kerajaan negeri, kini kembali berdepan sebagai seteru politik.

Atas sebab itu, kempen, naratif dan sentimen yang dibawa kedua-dua pihak dilihat lebih berhati-hati. Serangan terhadap lawan dilakukan secara terkawal kerana masing-masing sedar sebarang isu yang dibangkitkan berpotensi memakan diri.

Landskap politik yang berubah turut menyaksikan kemunculan strategi baharu. Antaranya ialah persefahaman antara BN dan Perikatan Nasional (PN) dalam pengagihan kerusi, sesuatu yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

Pada masa sama, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pula memilih untuk bertanding menggunakan logonya sendiri, sekali gus memperlihatkan pendekatan berbeza berbanding pilihan raya terdahulu.

Semua perkembangan ini memberi gambaran bahawa peluang setiap parti untuk muncul sebagai pemenang dan seterusnya membentuk kerajaan negeri adalah seimbang. 

Namun, kejayaan akhirnya bergantung kepada strategi yang tepat, sama ada dalam rundingan kerusi, pemilihan calon mahupun pendekatan sepanjang kempen.

Dalam keghairahan meraih sokongan, semua pihak perlu mengambil iktibar daripada pengalaman pilihan raya yang lalu. Parti politik, pemimpin, calon dan penyokong perlu berkempen secara matang serta berhemah.

Jangan sesekali memandang rendah kebijaksanaan pengundi. Dalam era maklumat tanpa sempadan, rakyat mempunyai akses kepada pelbagai sumber untuk menilai fakta dan membuat pertimbangan sendiri.

Mengambil maklum perkara itu, isu yang menyentuh institusi diraja, pembesar dan adat negeri wajar dielakkan daripada dijadikan bahan kempen. Pengundi Negeri Sembilan memahami latar belakang dan perkembangan isu-isu tersebut, malah mampu menilai sendiri apa yang berlaku.

Gelanggang demokrasi kini sudah dibuka. Barangkali ramai pengundi sudah mempunyai pilihan masing-masing.

Namun, dalam demokrasi, keputusan tidak semestinya ditentukan oleh parti, hubungan persahabatan atau pertalian keluarga semata-mata.

Idea yang segar, kematangan berpolitik, keperibadian calon serta kemampuan menawarkan penyelesaian kepada masalah rakyat masih mampu mempengaruhi hati pengundi sehingga ke saat akhir. 

Badrul Hafizan Mat Isa ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia.