Gagal SPM bukan gagal selama-lamanya

Gagal SPM bukan gagal selama-lamanya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERITA baik kepada 10,160 pelajar yang tidak menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 kini boleh memohon untuk memasuki Institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di seluruh negara.

Pengumuman oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang TVET terbuka untuk menerima mereka dengan menguasai tahap minimum 3M iaitu membaca, menulis dan mengira, agar masa depan terjamin amat dialu-alukan.

Ini pastinya membuka peluang yang luas untuk mereka memasuki universiti ataupun jika mereka mahu bekerja dahulu selepas SKM 1 dan SKM 2, mereka boleh terus bekerja. Yang penting, jangan putus asa. Di mana ada kemahuan di situ ada jalan.

Ramai juga mereka yang berjaya di pentas antarabangsa seperti Steve Jobs iaitu pengasas Apple Inc. dan Bill Gates, bekas Ketua Pegawai Eksekutif Microsoft. Kedua-dua mereka tidak menamatkan pengajian di peringkat universiti. Tetapi kedua-duanya menjadi orang yang berjaya dan dikenali seluruh dunia.

Alhamdulillah, tahap kesedaran ibu bapa dan remaja tentang TVET di negara kita telah berubah. TVET kini tidak lagi dipandang sebelah mata. Sebaliknya, ia terbukti bukan sahaja memberi pulangan yang lumayan tetapi juga makin diminati.

Buktinya, TVET berjumlah 1,345 buah terdiri daripada sektor kerajaan dan swasta di seluruh negara me­nerima kira-kira 280,000 jumlah permohonan kema­sukan yang terdiri daripada lepasan SPM.

Ini sekali gus menunjukkan minat terhadap pem­belajaran dan peningkatan kemahiran bagi memenuhi permintaan dalam pasaran pekerjaan begitu tinggi apabila melebihi 250,000 tempat yang ditawarkan.

Selain itu, mereka boleh bekerja sambil belajar ataupun belajar sambil bekerja kerana ada kursus-kursus yang ditawarkan bersesuaian dengan masa anjal yang ditawarkan.

Tinjauan Gaji Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) untuk Eksekutif 2023 membabitkan 262 syarikat swasta yang dijalankan baru-baru ini mendapati, hanya 39.6 peratus mengambil lulusan TVET, membuka peluang yang luas untuk lepasan bidang ini mendapatkan pekerjaan.

Sebenarnya, TVET menjanjikan peluang pekerjaan berkemahiran dengan tawaran gaji yang tinggi dan bidang tersebut sudah pun menjadi pilihan utama lepasan sekolah menengah seperti di Jepun.

Kita perlu kikis persepsi mahu kerja yang bergaya iaitu kolar putih dan pandang sebelah mata bidang TVET atau kolar biru.

Mengambil contoh Jepun misalnya, TVET dikenali sebagai ‘Kosen’ yang menjadi pilihan utama kepada semua lepasan sekolah menengah dalam peringkat umur melebihi 15 tahun.

Jadi, di Malaysia, Kementerian Pendidikan memulakan TVET melalui Kolej Vokasional dan Kolej Teknik daripada lepasan tingkatan tiga untuk memasukinya mereka perlu menduduki ujian bertulis atau oral (temuduga). – UTUSAN

Mohd Radzi Mohd Zin ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia

×