Era baharu kerjasama tanpa curiga - Utusan Malaysia

Era baharu kerjasama tanpa curiga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Dalam ucapan dasar di Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi semalam menyatakan hasrat agar kerjasama yang dibentuk dalam kerajaan Perpaduan sekarang akan dapat menghilangkan rasa curiga antara parti.

Justeru kata beliau, langkah yang perlu diambil oleh semua pihak dalam parti kerajaan ialah lebih berhati-hati dalam perbuatan atau perkataan.

“Harapan saya, kesalingan yang terbentuk (dalam kerajaan) ini akan memadamkan kecurigaan sesama kita. Jangan lagi ada kenyataan-kenyataan yang boleh mengguris hati antara kita,” katanya.

Sememangnya jika ada rasa curiga, amat sukar untuk membangunkan negara terutama dalam keadaan ekonomi yang tidak stabil. Antaranya kenaikan OPR dan terkini, kejatuhan nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).

Apabila politik yang rapuh dan tidak stabil, pelabur asing tidak berani melabur ke Malaysia. Mereka akan beralih ke negara ASEAN lain terutama Indonesia dan Thailand yang dilihat lebih stabil selain kadar tenaga buruh yang relatifnya lebih murah daripada di negara kita.

Kenyataan Zahid itu bukanlah luar biasa. Sebabnya dalam politik, semuanya boleh berlaku dan tiada kawan atau lawan yang kekal. Segalanya berkemungkinan dalam usaha mengejar kuasa dan kedudukan serta memastikan sesuatu matlamat itu dapat dicapai.

Salah satu takrifan politik mengikut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka yang popular adalah ilmu, ilmu (pengetahuan) berkenaan cara pemerintahan (dasar-dasar pemerintahan dan lain-lain), ilmu siyasah dan ilmu kenegaraan.

Namun ia juga ditakrifkan sebagai kelicikan, muslihat dan tipu muslihat. Berpolitik pula ditakrifkan sebagai mengambil bahagian dalam politik, menjalankan (mengamalkan) politik.

Atas dasar itu juga amat penting untuk parti-parti dalam kerajaan Perpaduan menamatkan perseteruan sesama mereka supaya boleh bergerak ke hadapan dan melupakan sengketa lama.

Hakikatnya, kalau parti-parti terlibat terus berpolemik kisah silam, ia takkan berkesudahan. Kerajaan Perpaduan sudah terbentuk lebih enam bulan dan ia perlu berfungsi mentadbir negara dengan baik untuk membawa Malaysia keluar daripada kemelut ekonomi.

Dalam masa sama, UMNO yang setakat ini mempunyai keahlian lebih 3.4 juta perlu melihat kepada kaedah terbaik memikat terutama golongan muda menyertai parti itu jika mahu memastikan ia terus relevan dalam politik negara.

Sebabnya, jumlah 13,442 penambahan keahlian baharu dari 1 Januari sehingga 6 Jun 2023 dilihat tidak memberangsangkan berdasarkan kedudukan UMNO yang sudah bertapak 77 tahun jika dikira tarikh penubuhan awalnya iaitu pada 11 Mei 1946.

PAU 2023 perlu menjadi medan mengukuh semula parti selain benar-benar mendasari hasrat akar umbi ahli-ahli. Dalam keadaan sekarang, bukan hanya ahli kena patuh kepada pemimpin parti tetapi pemimpin juga perlu berjiwa besar dengan mendengar suara ahli-ahli.

Menghilangkan rasa curiga dalam parti juga amat penting.

 

Mohd. Radzi Mohd. Zin ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia