KETIKA diisytiharkan bankrap pada Oktober 2019, syarikat Utusan Melayu (M) Berhad – yang menerbitkan akhbar Utusan Malaysia, Kosmo! dan 10 judul majalah – berusia 80 tahun. Namun ‘pemergiannya’ tidak diratapi. Ada yang bertepuk tangan ketika negara kehilangan satu khazanah dan sebuah institusi yang sangat berharga dan berjasa kepada negara. Daripada zaman perjuangan kepada kemerdekaan. Zaman membina negara bangsa hingga bergelar harimau Asia semuanya dirakamkan oleh Utusan Malaysia di bawah payung Utusan Melayu.
Selepas hampir setahun ditutup, atas keprihatinan tokoh-tokoh tertentu, legasi Utusan Melayu diteruskan dengan menerbitkan semula akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo! – tetapi bukan lagi di bawah bumbung Utusan Melayu yang pernah digelar Suara Keramat – tetapi di bawah payung Media Mulia Sdn. Bhd. entiti yang ditubuhkan untuk menggalas perjuangan ditinggalkan untuk meneruskan industri persuratkhabaran bahasa Melayu yang kian terpinggir dan dilupakan.
Walaupun ada suara-suara memperkecilkan kelahiran semula ini dengan mengatakan ia tiada ‘roh’, tidak ada ‘jiwa’ dan tidak ada semangat perjuangan,’ lantas memutuskan untuk tidak memberi sokongan apatah lagi membaca, Utusan Malaysia yang diterbitkan semula dengan slogan Pemikiran Baharu sudah berusia empat tahun hari ini.
Empat tahun penuh berliku berhadapan ranjau, duri dan api serta pelbagai cabaran termasuk oleh kelompok-kelompok Melayu yang dengan bangganya mengisytiharkan mereka tidak lagi membaca apatah lagi membeli akhbar Melayu.
Membawa legasi yang ditinggalkan oleh para pentadbir ketika Utusan Melayu di hujung hayatnya juga bukan sesuatu yang mudah. Label rasis, berat sebelah, akhbar sampah, utusan meloya tetap terpalit. Tajuk muka hadapan ‘Apa Lagi Cina Mahu’ selepas UMNO/Barisan Nasional (BN) menang tipis pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) terus menghantui Utusan Malaysia hingga ke hari ini. Termasuk menyukarkan usaha akhbar ini menembusi sektor pengiklanan yang majoriti dikendalikan oleh bukan bumiputera.
Itu belum diambil kira sekatan langganan oleh pejabat-pejabat kerajaan melalui pekeliling yang dikeluarkan selepas Pakatan Harapan (PH) membentuk kerajaan pada 2018, larangan dilanggan dan diedarkan di sekolah serta institusi pengajian tinggi dan sebagainya.
Larangan dan sekatan sama ada yang bersifat komersial atau politik memberi kesan yang besar kepada kelahiran semula Utusan Malaysia yang kelangsungan hidupnya bergantung atas usaha perniagaan semata-mata.
Itu belum lagi diambil kira perangai syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan korporat Melayu yang untung berbilion ringgit setahun, namun tidak ada satu sen pun dibelanjakan untuk iklan atau promosi di Utusan Malaysia. Pada golongan korporat ini akhbar Melayu tidak cukup standard untuk diletakkan iklan produk mereka, tetapi tanpa segan silu dan rasa malu menghantar siaran akhbar mohon disiarkan.
Ketika Utusan Malaysia diterbitkan semula empat tahun lalu juga, industri penerbitan menghadapi pelbagai cabaran dan transformasi. Pandemik Covid-19 mengubah cara hidup rakyat negara ini dan kebangkitan kecerdasan buatan (AI) memperkenalkan kecekapan baharu dan mengubah landskap kerja dan kreativiti. AI turut menyumbang kepada plagiarisme di persekitaran digital, terutamanya dalam kalangan penerbit persendirian yang menerbitkan semula artikel dan berita tanpa kebenaran pemilik asal. Akibatnya, syarikat penerbit dan akhbar yang menghasil kandungan asli mengalami kerugian kerana usaha mereka diciplak dan dijual tanpa kebenaran.
Di sebalik segala cabaran dalam tempoh empat tahun ini, Utusan Malaysia dengan Pemikiran Baharu yang berpaksikan perniagaan 100 peratus akan dipastikan terus hidup untuk meneruskan legasi 86 tahun hayat Utusan Melayu, untuk sekurang-kurangnya 86 tahun lagi. – UTUSAN
Aznan Bakar adalah Pengarang Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia
Empat tahun meredah duri, ranjau dan api

Media Mulia TV
Copyright © 2026 Media Mulia Sdn Bhd 201801030285 (1292311-H). All Rights Reserved