Elit politik vs orang muda - Utusan Malaysia

Elit politik vs orang muda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KETERLIBATAN anak muda dalam politik bukan baharu. Ketika gerakan nasionalisme di Asia Tenggara memuncak akhir abad ke-19 dan awal abad 20, anak muda giat mainkan peranan langsung.

Di Filipina, Andres Bonifacio dan Emilio Jacinto hanya berusia 20-an ketika mengasas gerakan nasionalis Katipunan yang melawan penjajah Sepanyol.

Emilio Aguinaldo pula berusia 29 tahun apabila bendera Republik Filipina dikibarkan buat julung kali pada 1898 dan dia diangkat menjadi presiden pertama negara itu. Tokoh nasionalis terkemuka Filipina, José Rizal mengarang bukunya yang sangat berpengaruh, Noli Me Tangere (1887) ketika berusia 25 tahun.

Di Burma, gerakan nasionalismenya juga diterajui awalnya oleh organisasi anak muda seperti Young Men’s Buddhist Association (YMBA). YMBA menganjurkan bantahan terhadap Akta Universiti Rangoon 1920 yang digubal penjajah British untuk mengekang kebebasan pelajar.

Antara individu penting ketika itu adalah Aung San, tokoh nasionalis Burma. Pada 1938, beliau meninggalkan kampus dan menyertai politik ketika berusia 23 tahun dan menjadi presiden parti Anti-Fascist People’s Freedom League pada 1946. Mengetuai rundingan dengan pihak British, beliau berjaya menandatangani perjanjian yang menjamin kemerdekaan Burma.

Malangnya, sebelum sempat lihat hasil usahanya, dia dibunuh pada 1947 ketika berusia 32 tahun.
Di negara ini, anak muda tidak kurang jasa baktinya. Saberkas, antara gerakan nasionalis pertama ditubuhkan di Kedah semasa zaman Perang Dunia Kedua. Pengasas gerakan ini termasuk Khir Johari, Senu Abdul Rahman dan Abdul Aziz Zain di bawah naungan putera raja Kedah, Tunku Abdul Rahman Putra.

Kesatuan Melayu Muda (KMM) juga tidak kurang impaknya. Ia gerakan politik kebangsaan pertama di negara ini diasaskan Ibrahim Yaacob dan Ishak Haji Muhammad yang masing-masing berusia 27 tahun dan 29 tahun pada 1938.

Walaupun akhirnya disekat dan ditindas oleh penjajah British, sumbangan KMM terhadap kesedaran nasionalisme di peringkat kebangsaan tidak boleh dinafikan.

Kita akui proses pertumbuhan semula (regeneration) berlaku agak perlahan dalam parti-parti politik hari ini yang dipenuhi golongan tua.

Malah, ada anak muda hari ini sukar mendaki hierarki dalam parti politik kerana elit-elit lama yang sangat sukar melepaskan jawatan mereka.

Trend ini amat malang sekali dan sebenarnya bercanggah dengan perkembangan khususnya di Eropah. Di sana penglibatan anak muda dalam arus perdana politik makin rancak.

Pada 2010 di United Kingdom, umpamanya, tiga orang yang berusia awal 40-an telah berjaya dipilih sebagai perdana menteri, timbalan perdana menteri dan ketua pembangkang. Sweden mempunyai beberapa menteri yang dilantik pada usia 20-an.

Di Perancis, Emmanuel Macron menjadi presiden termuda Perancis di usia 39 tahun, selain Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau (43 tahun).

Kisah-kisah lepas menyaksikan Jean-Claude Duvalier menjadi Presiden Haiti pada usia 19 tahun; Muammar Al Gaddafi, pemimpin Revolusi Libya (27), Kim Jong Un, pemimpin tertinggi Korea Utara (28) serta Milo Dukanovic, Perdana Menteri Montenegro (29).

Kata-kata bijak pandai berbunyi, “setiap manusia ada masanya”. Jika terus konsisten berjuang, masa untuk anak muda akan datang jua.

Zulkifli Jalil ialah Timbalan Pengarang Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya