jana pendapatan

Eko pelancongan: Di mana kita?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIAP tahun tapak arkeologi tamadun Inca, Machu Picchu di Peru dikunjungi kira-kira 1.5 juta pelancong dari seluruh dunia dengan purata 2,500 orang setiap hari, semata-mata mahu menyaksikan kota purba yang hanya tinggal kesan runtuhan di kawasan pergunungan Andes.

Dengan harga tiket AS$20 dolar atau kira-kira RM88 sekepala, Machu Picchu mampu menjana AS$6 juta atau RM24 juta setahun untuk Peru manakala pakej laluan denai ke tapak bersejarah itu pula menyumbang AS$3 juta atau RM12 juta.

Dengan pendapatan besar berasaskan sebuah sumber sahaja, nilai RM24 juta itu mampu untuk menampung penajaan geran penyelidikan dan pembangunan (R&D) setahun bagi meningkatkan ekonomi dan mencipta kekayaan negara melalui bidang sains dan teknologi.

Begitu juga banjaran Himalaya di Nepal mengundang 1.2 juta pelancong setiap tahun dan mampu menjana AS$700 juta (RM2.8 bilion) kepada negara paling miskin di Asia itu dan caj permit mendaki gunung Everest sahaja meraih pendapatan RM16 juta untuk ekonomi Nepal.

Malaysia perlu mempunyai pemikiran ke depan dengan mengeksploitasi sumber alam semula jadi dan peninggalan sejarah di negara ini untuk menjana pendapatan negara. Banyak kelebihan dalam negara ini yang belum dimaksimum sepenuhnya, malah terbiar begitu lama.

Sungai-sungai, gunung-ganang, warisan budaya berbilang masyarakat dalam setiap negeri perlu membuka mata kerajaan yang memerintah. Selepas dua tahun dibelenggu masalah ekonomi akibat Covid-19, pemulihan perlu pantas dengan meneroka sumber-sumber alam.

Penerokaan sektor pelancongan baharu akan membantu merangsang pertubuhan ekonomi setempat berasaskan industri kecil dan sederhana (IKS) dalam kalangan rakyat terutama yang menetap di kawasan-kawasan terpencil dan luar bandar tetapi kaya dengan khazanah alam.

Falsafah tarikan alam semula jadi sering menjadi asas pelancongan. Di China, sebanyak 145 juta pelancong masuk ke negara itu pada 2019 untuk melihat Tembok Besar China atau melayari bot menyelusuri sungai-sungai di Guilin sambil menikmati aktiviti harian penduduknya.

Statistik antarabangsa pada 2018 menunjukkan China mencatat kemasukan pelancong paling ramai iaitu 62.9 juta diikuti Thailand 38.2 juta, Jepun 31.2 juta dan Malaysia di tempat keempat 25.8 juta. Jika Malaysia mahu menjadi destinasi paling popular, maka banyak perlu dilakukan.

Sebab itu pelancongan di China mencatat perolehan Y6.63 trilion pada 2019, peningkatan sebanyak 11.1 peratus. Jumlah yang sangat besar untuk menjana perkembangan ekonominya dalam pelbagai bidang lain termasuk pengeluaran hasil pertanian dan barang makanan.

Pelan eko pelancongan kebangsaan 2016 –2025 tampak komprehensif, tetapi sejauhmana kejayaan pelaksanaannya belum diaudit, namun secara mata kasar banyak lagi kawasan pelancongan eko yang belum diteroka atau dibangunkan. Yang diberi perhatian isi lama.

Pencapaian banyak negara lain kalau dibuat perbandingan perlu membuka mata semua pihak terutamanya kerajaan-kerajaan negeri.

Dengan banyak kelonggaran yang dinikmati sekarang, sewajarnya sebuah pelan tindakan yang lebih aggresif wajar dilaksanakan dalam mempercepatkan lagi proses pemulihan ekonomi negara khususnya dalam sektor pelancongan.

Kadang-kala terfikir juga, kalau bukan khazanah alam semula jadi tanpa kita sedar atau sebaliknya, Malaysia juga kaya dengan sumber warisan lama, bangunan dan peninggalan sejarah tanah air yang setiapnya memiliki tarikan tersendiri. – UTUSAN

  • Meor Harman Meor Shakri ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia.

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya