Dunia mahu generasi serba tahu - Utusan Malaysia

Dunia mahu generasi serba tahu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Surat pekeliling daripada Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) bertarikh 8 Ogos yang mengarahkan semua ketua jabatan dan agensi kerajaan perlu mendapat kebenaran dengan kementerian sebelum berkongsi maklumat dengan media sesuatu yang lain daripada yang lain.

Terkejut membaca isi kandungan pekeliling tersebut kerana tindakan itu bukan sahaja seperti menentang arus malah lebih besar lagi seperti mahu menyekat maklumat daripada diketahui umum.

Lebih pelik, arahan tersebut termasuk mengkehendaki pengamal media merujuk kembali rangka berita yang ditulis kepada pegawai kerajaan yang menyalurkan maklumat. Jika ke tahap itu, apa takrifan KPPA terhadap peranan pengamal media?

Meneliti pekeliling Datuk Seri Mohd. Shafiq Abdullah, arahan itu bagaikan ada sesuatu yang tidak menyenangkan di pihak KPPA.

Pada awal bulan ini, tular satu insiden mengkaitkan Shafiq didakwa memaki-hamun seorang pegawai imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Insiden itu seperti serius apabila kerajaan membentuk satu jawatankuasa khas diketuai Peguam Negara untuk menyiasat.

Namun, setakat ini belum ada kesimpulan diumumkan jawatankuasa tersebut.
Jika surat itu memang rentetan daripada penularan insiden di KLIA, KPPA tidak wajar mengenakan hukuman kepada pengamal media dengan mengeluarkan SOP sebegitu kerana arahan tersebut seperti membantutkan sistem penyampaian maklumat kepada rakyat.

Pengamal media yang mendapat permit daripada Kementerian Dalam Negeri adalah jambatan informasi kerajaan kepada rakyat dan rakyat kepada kerajaan.

Hal tersebut berlaku sebelum merdeka dan masih berterusan apabila kerajaan memerlukan media untuk menguar-uarkan gerak kerja, dasar-dasar dan maklumat-maklumat penting negara untuk diketahui rakyat.

Begitu juga rakyat turut memerlukan media sebagai orang tengah untuk menyampaikan pendapat, meluah masalah atau mengkritik keputusan-keutusan kerajaan yang tidak disenangi.

Pendekatan menyekat maklumat kepada media bagaikan pemikiran ke belakang sedangkan kehidupan manusia hari ke hari semakin tiada sempadan.

Justeru, pegawai tinggi kerajaan termasuk agensi penguat kuasa perlu berubah menerima pengamal media sebagai sebahagian rakan kerja bukan memusuhi mereka.

Pengamal media juga mempunyai SOP dan lebih daripada SOP etika kewartawanan iaitu tidak semberono menyiar atau memuat naik berita-berita yang tidak tentu kesahihan.

Adalah tugas dan tanggungjawab orang media berhubungan dengan ketua-ketua jabatan atau agensi bagi mencari kebenaran sesuatu berita.

Sekiranya niat sekatan itu diteruskan dikhuatiri persefahaman antara pengamal media dan agensi kerajaan ‘terkesan’ lebih-lebih lagi menjelang PRU15.

Contoh terkini, bagaimanapun peranan media yang diiktiraf berusaha menyiarkan laporan-laporan seimbang daripada pelbagai pihak berhubung projek kapal LCS.

Seperkara lagi, ketahuilah generasi gemar membaca, mengambil tahu hal ehwal negara dan menyumbang pendapat adalah generasi yang diperlukan di semua negara. Generasi yang mengabaikan hal ehwal semasa dan hidup dengan diri sendiri tidak akan memajukan negara sebaliknya membantutkan proses tersebut.

 

Teon Eg ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya