Duluan yang bakal jejaskan kestabilan politik negara?

Duluan yang bakal jejaskan kestabilan politik negara?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AHLI Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan baru-baru ini bertanya adakah keputusan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berhubung kedudukan enam Ahli Parlimen Bersatu (yang telah gugur keahlian selepas perlembagaan parti itu dipinda) yang menyokong Perdana Menteri sebagai kekal, tanpa perlu mengosongkan kerusi sebagai duluan yang mengikat (binding precedent) jika selepas ini berlaku lagi perbuatan yang sama.

Katanya, sekiranya kes-kes sokongan bertentangan seperti itu berulang sama ada dari pembangkang menyokong kerajaan atau daripada pihak kerajaan menyokong pembangkang adakah keputusan dan peraturan yang sama akan diguna pakai?

Pertanyaan Takiyuddin ini tidak boleh dipandang enteng kerana apa yang diputuskan oleh Johari itu bakal menjadi duluan yang mungkin akan diikuti oleh beberapa Ahli Parlimen yang kini berada di atas pagar antara mahu terus menyokong kerajaan atau memihak kepada pembangkang pada masa depan.

Walaupun ada senario tertentu yang boleh dibahaskan dalam kes enam Ahli Parlimen itu, iaitu mereka menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri sebelum perlembagaan Bersatu dipinda, namun ia tetap akan dijadikan hujah untuk mewajarkan sokongan rentas parti selepas ini.

Apa yang dibimbangi, ia akan diambil kesempatan oleh pihak-pihak tertentu untuk menguji kelompongan yang terdapat dalam Akta Anti Lompat Parti ini yang akhirnya akan membawa politik ke kancah pergolakan dan ketidakstabilan.

Berdasarkan kepada keputusan Yang Dipertua Dewan Rakyat itu, sudah ada yang membuat tafsiran bahawa tidak salah bagi Ahli Parlimen yang tidak sebulu dengan kepemimpinan parti mereka untuk menyokong pihak lawan tanpa perlu keluar dari parti kerana ia tidak dianggap sebagai melompat serta tidak bertentangan dengan Akta Anti Lompat Parti.

Johari ketika membuat keputusan mengekalkan kerusi keenam-enam Ahli Parlimen itu sudah tentu telah mengambil kira setiap aspek penting berdasarkan Perlembagaan, namun bagi orang awam mereka hanya melihat kepada tafsiran yang mudah iaitu wakil-wakil rakyat yang menyokong parti lawan tanpa keluar dari partinya tidak diistilahkan sebagai lompat parti.

Ini seperti mana persoalan yang dibangkitkan oleh Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr. Muhammad Akmal Saleh iaitu jika ada wakil rakyat kerajaan yang menyokong pembangkang walaupun tidak keluar parti adakah ia dibolehkan? Adakah boleh disokong tindakan itu?

Contohnya kata beliau, jika seseorang wakil rakyat itu menang atas tiket BN, tetapi kemudiannya apabila mengundi dalam dewan mengikut parti lawan, tetapi dia masih lagi anggota BN maka perbuatannya tidak dianggap sebagai lompat parti?

Ini persoalan-persoalan yang perlu dijelaskan kerana jika ia dibiarkan berlarutan akan ada individu-individu yang akan mengambil kesempatan yang boleh menjerumuskan politik negara kepada pertelingkahan yang tiada kesudahan.

Sudah tentu kita tidak mahu kes-kes kerajaan pintu belakang, tebuk atap, Langkah Sheraton dan sebagainya itu tidak berulang kerana ia tidak sihat kepada kestabilan dan keyakinan orang luar kepada negara kita.

Langkah terbaik adalah dengan mempersetujui cadangan Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya akta itu dipinda agar hal-hal berkaitan dengan memberi sokongan kepada pihak lawan dan yang bertentangan dengan pendirian serta perlembagaan parti diperincikan agar Perlembagaan negara tidak diperkotak-katikkan.

Aznan Bakar adalah Pengarang Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia