Duit KWSP: Awas penjahat siber sedang berlatih skrip - Utusan Malaysia

Duit KWSP: Awas penjahat siber sedang berlatih skrip

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Mulai 1 April depan, pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang berhajat membuat pengeluaran khas RM10,000 maksimum dan minimum RM50 boleh membuat permohonan.

Tempoh permohonan selama sebulan adalah tempoh yang cukup membolehkan pencarum yang ingin mengunakan duit simpanan membuat permohonan pengeluaran.
Ketika Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan berita gembira Rabu lalu, perlu ingat selain pencarum yang tersenyum lebar, ada sindiket yang pantas mengatur strategi untuk ‘menyambar’ duit pencarum.

Justeru serentak dengan pengumuman itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) terus mengeluarkan kenyataan memberi peringatan kepada orang ramai agar tidak terpedaya dengan apa jua taktik untuk menipu duit RM10,000 milik pencarum.

Mengikut polis, sindiket akan menggunakan pelbagai modus operandi bermula dengan membuat panggilan telefon, menghantar mesej pada aplikasi WhatsApp atau mencipta laman sesawang palsu.

Bagaimanapun, pencarum hanya perlu beringat bahawa KWSP tidak menyedia ejen, orang tengah atau menerusi pangilan telefon atau e-mel bagi menguruskan pengeluaran khas tersebut.

Berdasarkan statistik jenayah siber dalam empat tahun kebelakangan ini, Malaysia merekodkan kerugian mencecahkan RM1.52 bilion membabitkan 81,079 mangsa.

Penipuan siber terbesar dan terus aktif mencari mangsa membabitkan sindiket Macau Scam apabila dalam tempoh tersebut merekodkan 23,161 kes dengan kerugian RM986.9 juta.

Ini diikuti pelaburan membabitkan kerugian berjumlah RM827.6 juta daripada 6,894 kes, sebanyak 22,282 kes penipuan e-dagang atau pembelian dalam talian dengan kerugian RM166.5 juta serta 19,814 kes pinjaman tidak wujud bernilai RM196 juta.

Walaupun, pihak berkuasa berterusan menyebarkan maklumat mengenai taktik-taktik penipuan tersebut namun kes- kes jenayah siber terus meningkat selain turut dilaporkan membabitkan golongan profesional.

Bagi sesiapa yang mengikuti penipuan siber, jenayah tersebut sangat `menyeramkan’ kerana ada juga sindiket yang berupaya memanipulasi nombor telefon atau akaun laman sosial seseorang untuk menyamar bagi mendapatkan wang.

Pendek kata jenayah siber sentiasa berubah mengikut perkembangan bagi mencari mangsa. Contohnya kini, polis percaya sindiket yang bukan satu kumpulan mungkin sedang berlatih skrip untuk berurusan dengan pencarum yang berhajat memohon mengeluarkan wang KWSP RM10,000.

Oleh itu, penguat kuasa atau agensi yang berurusan dengan jenayah siber sewajarnya perlu lebih ke depan dalam mencantas geng penjahat siber yang tidak habis-habis merugikan mangsa-mangsanya.

Teon Eg ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia